BARBER ketika beraksi di Liga Berlian IAAF pada 2015. FOTO FAIL REUTERS
BARBER ketika beraksi di Liga Berlian IAAF pada 2015. FOTO FAIL REUTERS
AFP

Montreal: Bekas juara dunia lompat bergalah dari Kanada, Shawn Barber meninggal dunia pada usia 29 tahun di kediamannya di Texas, semalam, kata ejennya.

Barber meraih gelaran juara dunia pada 2015 di Beijing menerusi lompatan setinggi 5.90 meter (m) dan sekali merangkul kejuaraan antarabangsa utama di tanah airnya, Toronto semasa Sukan Pan Amerika 2015.

Ejennya, Paul Doyle mengumumkan kematian Barber menerusi Instagram (IG), namun tidak mengumumkan punca kematiannya.

"Seorang sahabat yang tidak akan pernah dilupakan. Atlet lompat bergalah Olimpik Kanada, Shawn Barber sudah meninggal dunia.

"Dia kini menjadi pemegang rekod Kanada dengan catatan peribadi terbaik setinggi 6m dan juara dunia lompat bergalah pada 2015.

"Shawn adalah finalis Olimpik di Rio De Janeiro 2016 dan dia pastinya akan dirindui."

Barber mencatat rekod dalam dewan Kanada dengan lompatan 6m ketika acara Kemuncak Lompat Bergalah pada 2016 dan melepasi 5.93m pada Julai 2015 untuk mencatat rekod luar dewan Kanada.

Barber yang memiliki dua taraf kewarganegaraan iaitu Kanada dan Amerika Syarikat (AS), memenangi pingat perak ketika Sukan Komanwel Gold Coast 2018 selepas memenangi gangsa di Glasgow 2014.

Di Olimpik Rio 2016, Barber menduduki tempat ke-10 dengan lompatan setinggi 5.50m.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 11:53 AM