Dari kiri, Duplantis, Lavillenie dan Kendricks. FOTO World Athletics.
Dari kiri, Duplantis, Lavillenie dan Kendricks. FOTO World Athletics.
AFP

TIGA jaguh lompat bergalah dunia bertarung antara satu sama lain dari laman belakang rumah masing-masing ketika sukan terus mencari cara baharu dilakukan ketika pandemik Covid-19.

Pemegang rekod dunia, Armand Duplantis dan bekas juara Olimpik, Renaud Lavillenie melepasi lompatan jarak lima meter sebanyak 36 kali dalam masa 30 minit, manakala juara dunia, Sam Kendricks berjaya melakukan 26 lompatan.

Acara yang disiarkan secara langsung oleh World Athletics menerusi media sosial dan ditonton 150,000 di seluruh dunia menyaksikan Lavillenie bertanding dari kediamannya di Clermont-Ferrand, Perancis, sementara bintang Sweden, Duplantis di Lafayette, Louisiana dan Kendricks di Oxford, Mississippi.

Duplantis, 20, memerlukan tambahan masa tiga minit untuk ditentukan sebagai pemenang tetapi Lavillenie, 33, berkata dia sudah selesai.

Pertarungan tiga jaguh lompat bergalah disiarkan secara langsung di saluran media sosial. FOTO World Athletics.
Pertarungan tiga jaguh lompat bergalah disiarkan secara langsung di saluran media sosial. FOTO World Athletics.

"Saya sangat rindu perasaan ketika bertanding," kata Lavillenie warga Perancis.

"Ia sangat gila tapi walaupun melakukannya di belakang halaman rumah, saya dapat rasakan perasaan sama ketika menyertai kejohanan utama.

"Saya sangat teruja dan gembira untuk menjadi sebahagian daripada ini.

"Saya tidak akan melakukannya setiap minggu, tetapi saya gembira melakukannya setahun sekali."

Duplantis, yang mengambil alih daripada Lavillenie sebagai pemegang rekod dunia, mendahului hampir separuh lompatan dengan tidak melakukan kesilapan mudah.

"Ia sangat menyeronokkan untuk berada di sini bersaing bersama mereka. Saya sangat rindukan pertandingan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 8:16 AM