Sebahagian atlet menembak Pahang yang akan beraksi pada Sukma 2024 Sarawak. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Sebahagian atlet menembak Pahang yang akan beraksi pada Sukma 2024 Sarawak. -FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Kerajaan Pahang menetapkan gaji minimum jurulatih sepenuh masa dinaikkan kepada RM2,000 sebulan bermula Mac tahun lalu berbanding RM1,500 sebulan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, inisiatif berkenaan mampu menaikkan moral dan semangat jurulatih untuk menjalankan tugas dengan penuh semangat, menerap mentaliti juara dan dedikasi tinggi.

Katanya, turut mendapat imbuhan atlet Tok Gajah yang layak bersaing pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 Sarawak, mereka menerima elaun minimum sebanyak RM200 sebulan.

Menurutnya, elaun yang disediakan kepada altet itu diharap menjadi pembakar semangat kepada mereka untuk berlatih seterusnya berusaha melakar kejayaan

"Bagi atlet Tok Gajah yang memenangi pingat pada Sukma sebelum ini, mereka akan menerima sehingga RM500 sebulan bermula bulan ini.

"Imbuhan itu adalah pengiktirafan dan dorongan serta pemangkin semangat buat setiap atlet untuk berjuang bagi menaikkan nama Pahang di pentas kebangsaan," katanya, di sini semalam.

Beliau menambah, kerajaan negeri turut menyalurkan peruntukan bagi membaik pulih fasiliti sukan termasuk Stadium Darul Makmur (SDM) sebanyak RM1.3 juta yang kini sudah selesai sepenuhnya.

Fadzli berkata, kini pihak SDM memberi peluang kepada rakyat untuk turut menggunakan kemudahan trek di stadium berkenaan yang kini menjangkau usia 50 tahun, kemudahan disediakan secara percuma pada Isnin hingga Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:20 PM