PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal melancarkan Tabung Sukan Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal melancarkan Tabung Sukan Pahang. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melancarkan Tabung Sukan Pahang, hari ini.

Baginda berkenan menyempurnakan inisiatif terbaharu Kerajaan Pahang pada Majlis Anugerah Sukan Pahang 2021/2022, di sini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Menurut Fadzli, pelancaran Tabung Sukan Pahang adalah satu langkah besar, agenda yang terancang, serta komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasa prestasi dan kemajuan sukan di Pahang.

"Pihak yang menyumbang kepada tabung ini bukan sahaja mendapat pelepasan cukai tetapi juga turut berpeluang terbabit menjayakan program pembangunan atlet dan sukan berprestasi tinggi di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang mengambil langkah drastik menaikkan elaun latihan minimum atlet Pahang yang terpilih menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak berjumlah RM250 sebulan berbanding RM100 bermula Januari depan.

Katanya pada masa sama, kadar elaun latihan bagi pemenang pingat emas Sukma 2022 pula dinaikkan kepada RM500 sebulan berbanding RM350 bermula Januari depan.

"Langkah ini sebagai tanda pengiktirafan serta sebagai pemangkin dan lonjakan semangat kepada semua atlet untuk terus komited mencapai sasaran ditetapkan," katanya.

Pada Mac lalu, Fadzli berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Pahang (MSP) membuat pelarasan gaji minimum semua jurulatih sukan iaitu RM2,000 sebulan.

"Sebelum ini, ada jurulatih yang memperoleh gaji RM1,500 sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 8:14 PM