AISYAH dipilih mewakili negara dalam acara lebuh raya di Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
AISYAH dipilih mewakili negara dalam acara lebuh raya di Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Nilai: Prestasi konsisten selain berada dalam ranking terbaik bagi pelumba wanita negara membolehkan Nur Aisyah Mohamad Zubir dipilih mewakili negara dalam acara lebuh raya ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.

Pelumba kelahiran Terengganu itu melakar sejarah tersendiri dalam acara berbasikal lebuh raya negara apabila menjadi pelumba wanita pertama akan tampil di temasya terbesar itu.

Pelumba berusia 26 tahun dipilih sebulat suara dipilih oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dalam mesyuarat khas di Velodrom Nasional Nilai, yang turut dihadiri jurulatih lebuh raya kebangsaan, Amir Mustapa Rosli dan wakil daripada Majlis Sukan Negeri, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM, Azman Abu Samah berkata, kejayaan Aisyah memang sesuatu yang tidak dijangka, malah PKBM turut berbangga dengan apa yang dilakarkan pelumba yang pernah meraih enam pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak itu.

AZMAN (tengah) bersama Amarjit Singh (kiri) dan Amir Mustafa pada sidang media di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM
AZMAN (tengah) bersama Amarjit Singh (kiri) dan Amir Mustafa pada sidang media di Velodrom Nasional Nilai, hari ini. FOTO AZRUL EDHAM

"Pemilihan Aisyah dipersetujui semua jurulatih negeri yang terbabit dalam mesyuarat pemilihan ini dan selepas melalui perbincangan dari hati ke hati, kami sebulat suara bersetuju untuk memilihnya kerana merasakan dia benar-benar layak untuk mengisi slot berkenaan.

"Aisyah dipilih berdasarkan mata yang paling tinggi dalam ranking pelumba negara dan saya sendiri mengikuti Aisyah sejak 2016 dan dia paling konsisten di setiap kejohanan yang disertai.

"Dia memang tidak mengecewakan kita," katanya yang akan dilatih oleh Amir Mustapa iaitu bekas pelumba kebangsaan yang turut pernah beraksi di temasya Olimpik London 2012.

Menurut Azman, selain Aisyah, PKBM turut mempertimbangkan tiga lagi nama iaitu Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad, Phi Kun Pan dan Yeong Zhen Yi.

Aisyah sebelum ini cemerlang di dua temasya Sukan Sea bermula di Hanoi 2022 apabila meraih dua perak dalam acara lebuh raya individu dan berpasukan serta satu gangsa dalam acara kriterium.

Dia turut menyumbangkan dua gangsa di Sukan Sea Kemboja, Mei lalu menerusi lebuh raya dan kriterium selain turut berpengalaman beraksi di Sukan Asia Hangzhou, September lalu.

Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menghabiskan perlumbaan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas dalam kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

Susulan itu, Azman berharap sokongan penuh dapat diberikan kepada Aisyah untuk membuat persiapan menghadapi temasya berkenaan.

Turut hadiri pada sidang media khas adalah Naib Presiden PKBM, Datuk G Amarjit Singh Gill yang mengakui merasa bangga dengan kejayaan diraih Aisyah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 4:39 PM