PASUKAN lumba basikal negara tiba di KLIA2 kelmarin.
PASUKAN lumba basikal negara tiba di KLIA2 kelmarin.
BERNAMA

Phnom Penh: Formula gabungan dua pasukan profesional terkemuka negara harus dikekalkan sekiranya skuad lebuh raya Malaysia mahu mengekalkan penguasaan dalam acara lepas beramai-ramai dan kriterium pada Sukan Sea 2025 di Thailand.

Pengurus pasukan skuad berbasikal negara, Norazman Abu Samah menegaskan wakil pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) mesti dibenarkan berbakti demi negara sekiranya Malaysia mahu memburu lebih banyak emas di bumi negara Gajah Putih itu.

Jurulatih TSG dan TSC juga harus digandingkan pada edisi 2025 kerana mereka memiliki kepakaran untuk mencatur strategi perlumbaan demi melakar sejarah menang pingat emas acara lepas berama-ramai bagi kali ketiga berturut-turut sejak 2021.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persekutuan Berbasikal Asean (ACF) menjelaskan kedengaran khabar angin lebih 10 pingat emas akan dipertandingkan menerusi disiplin lebuh raya pada Sukan Sea 2025.

"Sekiranya benar, ia satu jumlah sangat besar. Saya difahamkan akan dipertandingkan beberapa acara baharu seperti ujian masa campuran berpasukan (MTT) iaitu dua pelumba elit lelaki bergandingan dengan dua pelumba elit wanita. Saya faham kenapa Thailand mahukan acara ini.

"Thailand memiliki dua pelumba elit lelaki yang kuat selain memiliki barisan pelumba elit wanita yang kuat. Itu faktor menyebabkan Thailand memperkenalkan acara ujian masa campuran berpasukan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Azman percaya Thailand bakal menyenaraikan acara lepas beramai-ramai, kriterium dan ujian masa perseorangan (ITT) untuk elit lelaki dan wanita.

"Di sini sahaja ada enam pingat emas untuk direbut. Saya percaya akan ada tambahan pingat sekiranya Thailand menyenaraikan emas untuk kategori berpasukan menerusi acara acara lepas beramai-ramai dan kriterium," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKBM turut meminta semua pihak khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) agar segera memulakan latihan pusat kepada pelumba berbasikal negara.

"Kita tak perlu tunggu sehingga tiga atau empat bulan sebelum bermulanya temasya Sukan Sea 2025. Saya difahamkan lebih 40 pingat emas boleh direbut menerusi disiplin lebuh raya, trek, basikal bukit (MTB) dan BMX.

"Kita perlu manfaatkan peluang ini untuk merebut seberapa banyak pingat emas yang boleh. Kita perlu bermula lebih awal. Saya akan mendesak Biro Lebuhraya PKBM segera kemukakan cadangan kepada KBS atau MSN," katanya.

Skuad lebuh raya Malaysia meraih satu emas, satu perak dan dua gangsa menerusi acara lepas beramai-ramai elit lelaki dan wanita serta kriterium pada Sukan Sea 2023 yang diadakan di Siem Reap, Kemboja.

Pelumba TSG, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki menyelamatkan maruah Malaysia selepas berjaya mempertahankan pingat emas acara lepas beramai-ramai elit lelaki yang dimenangi pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2023 @ 3:44 PM