Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan Unit Sukan muncul juara Kejohanan Futsal Staf Universiti Teknologi Mara (UITM) Melaka selepas menewaskan Skuad Library 4-2 pada aksi final berlangsung di Ferro Futsal Bukit Rambai, di sini, baru-baru ini.

Kejayaan pasukan berkenaan membolehkan mereka membawa pulang wang tunai RM300 berserta hadiah iringan manakala Skuad Library menerima RM150 serta hadiah iringan.

Tempat ketiga milik pasukan UiTM Kampus Jasin, selepas mengecewakan Polis Bantuan Alor Gajah 3-1 untuk membawa pulang RM70 dan hadiah iringian.

Ahli Jawatankuasa Biro Sukan PSKK Anuar Sahat berkata, kejohanan itu dianjurkan Persatuan Sukan dan Kebajikan Kakitangan (PSKK) UiTM Melaka membabitkan penyertaan 12 pasukan.

“Bukan sekadar beriadah dan mengeratkan hubungan dalam kalangan kakitangan UiTM sebaliknya kami menjadikan program ini sebagai pentas mencari pemain berbakat bagi mewakili kampus ini pada kejohanan Staf UiTM Malaysia tidak lama lagi.

“Kami menerima sokongan pelbagai pihak dan selepas ini PSKK merancang menganjurkan kejohanan bola sepak antara ketiga-tiga kampus di negeri ini pada Disember nanti,” katanya.

Menurutnya, antara pasukan yang mengambil bahagian termasuk Unit Kolej, Pejabat Bendahari, Fakulti Seni Lukis Seni Reka, Kelab Pensyarah Muda, kakitangan Unit Pentadbiran, Akademik dan Kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Oktober 2015 @ 9:54 AM