AMINUDDIN Harun (tengah) bersama atlet Negeri Sembilan yang menerima insentif khas pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
AMINUDDIN Harun (tengah) bersama atlet Negeri Sembilan yang menerima insentif khas pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Sembilan, hari ini. FOTO Mohd Amin Jalil.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Pencapaian cemerlang atlet Negeri Sembilan yang diraih pada temasya Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China dan Sukan Sea serta Para Asean 2023 di Kemboja, mendapat penghargaan daripada kerajaan Negeri Sembilan.

Kesemua 22 atlet terbabit menerima insentif penghargaan berjumlah keseluruhan RM50,000 dengan setiap atlet masing-masing menerima antara RM3,000 hingga RM6,000.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kerajaan negeri berbesar hati untuk memberi pengiktirafan khas kepada anak-anak Negeri Sembilan yang berjuang dalam sukan mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kejayaan semua atlet ini dalam Sukan Asia dan Sukan SEA serta Para Asean melalui acara yang diceburi telah membantu mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Percayalah bahawa mereka adalah sumber inspirasi dan kebanggaan kitasemua terutama generasi muda.

"Justeru, kerajaan negeri berbesar hati untuk memberi pengiktirafan di atas jasa dan pengorbanan mereka di dalam mengharumkan nama Negeri Sembilan dan Malaysia," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Sembilan, di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor serta barisan EXCO negeri dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Aminuddin turut menzahirkan penghargaan terhadap Ketua Kontinjen Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, yang juga Presiden Persatuan Wushu NegeriSembilan.

"Saya yakin kejayaan atlet kita ini adalah kerana kerjasama dan komitmen tinggi semua pihak yang bekerja keras dalam membantu memastikan mereka dapat memberikan persembahan terbaik dalam ketiga-tiga pentas temasya berkenaan.

"Saya berharap insentif ini akan terus menjadi pembakar semangat mereka untuk terus cemerlang dalam temasya sukan yang lain selepas ini," katanya yang menyampaikan 11 Anugerah Sukan Negeri Sembilan 2023.

Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin menerima Anugerah Olahragawan manakala pemain badminton kebangsaan, S Kisona menerima Anugerah Olahragawati.

Anugerah pasukan terbaik pula menjadi milik pasukan ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Negeri Sembilan manakala pasukan menembak Air Rifle wanita dipilih sebagai penerima Anugerah Pasukan Terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 2:52 PM