ALIA berazam mempamerkan aksi terbaik selepas terpilih ke Sukan Asia. -FOTO Ihsan Alia Husna.
ALIA berazam mempamerkan aksi terbaik selepas terpilih ke Sukan Asia. -FOTO Ihsan Alia Husna.
Oleh Mohd Amin Jalil


Seremban: Selepas dimaklumkan namanya tersenarai, penembak muda, Alia Husna Budruddin bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan mencatatkan keputusan cemerlang di temasya Sukan Asia di Hangzhou, China, September depan.

Alia Husna memaklumkan dia terpilih bagi kategori B acara 50 meter (m) rifle 3 posisi untuk bersama pasukan menembak negara menggalas cabaran ke temasya sukan terbesar berkenaan.

"Saya terkejut, teruja dan bersyukur sangat apabila pihak pengurusan persatuan memaklumkan saya terpilih ke Sukan Asia.

"Berita itu sememangnya menggembirakan kerana menjadi impian saya sejak sekian lama untuk beraksi di pentas Sukan Asia.

"Walaupun terpilih bagi kategori B (kos ditanggung oleh persatuan dan dibayar balik jika atlet menang pingat) namun ia tetap satu peluang terbaik untuk saya membuktikan kemampuan sebenar," katanya.

Dia kini sedang bersaing pada Kejohanan Menembak Trofi Chia Woh 2023 di Lapang Sasar Subang sejak 12 Julai lalu dan berakhir esok.

Atlet berasal dari Negeri Sembilan berusia 22 tahun itu berkata, dia sedang memburu catatan terbaik bagi acara kedua iaitu 10 meter Air Rifle Individu Wanita untuk berpeluang beraksi dalam dua acara di Hangzou nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 1:01 PM