HISHAMUDDIN (empat dari kanan) bergambar bersama atlet dan pegawai pada Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan Asia Hangzhou. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
HISHAMUDDIN (empat dari kanan) bergambar bersama atlet dan pegawai pada Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan Asia Hangzhou. FOTO FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak


Kuala Nerus: Seramai 17 atlet Terengganu termasuk dua pegawai yang beraksi di temasya Sukan Asia Hangzhou, China baru-baru ini menerima insentif Skim Wakil Negara (SWARA) dan Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) membabitkan jumlah keseluruhan RM44,500.

Daripada jumlah itu, empat atlet Terengganu iaitu Muhammad Shahrul Mohd Kamaru Hisam (Gimnastik), Tengku Nurani Ezaty Tengku Khairudeen (Pelayaran), Azreen Nabila Alias (Olahraga) dan Mohamad Syafiq Md Ariffin (Memanah) masing-masing membawa pulang pingat gangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya memberikan insentif SWARA berjumlah RM28,500 manakala SHAKE sebanyak RM16,000 kepada atlet terbabit.

Beliau berkata, empat atlet yang meraih pingat gangsa pada temasya itu melayakkan mereka menerima insentif SHAKE berjumlah RM5,000 bagi acara individu dan RM3,000 untuk acara berpasukan.

"Insentif yang diberikan ini sebagai penghargaan kepada atlet Terengganu yang mewakili Malaysia dan meraih pingat pada temasya Sukan Asia, China baru-baru ini.

"Kita berbangga apabila daripada 17 atlet, empat daripadanya membawa pingat gangsa pada temasya itu sekali gus melayakkan menerima insentif SHAKE," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Atlet Terengganu Sukan Asia Hangzhou, China 2023 di Bilik Seminar Ar Riyadah Residence Asrama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Hishamuddin berkata, pada temasya itu 12 atlet lelaki dan lima wanita serta dua pegawai daripada lapan jenis sukan terpilih mewakili negara.

"Atlet yang mewakili negara dan tidak memenangi sebarang pingat menerima insentif RM1,500 seorang.

"Kita berharap lebih ramai atlet dari Terengganu dapat mewakili negara ke kejohanan peringkat antarabangsa selepas ini," katanya.

Sementara itu, Tengku Nurani Ezaty mengharapkan insentif kemenangan yang diraih itu menjadi pemangkin semangat buat dirinya dalam kejohanan yang akan disertai selepas ini.

Atlet berusia 19 tahun itu berkata, Sukan Asia adalah penampilan sulung buat dirinya dan bersyukur apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa.

"Sekarang ini, saya sedang melakukan persiapan untuk kejohanan kebangsaan yang diadakan di Selangor pada bulan depan dan saya akan berusaha mempamerkan aksi yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 6:31 PM