MUHAMMAD Haiqal (kiri), S. Kisona, Ooi Kah Yan dan Daren Rahul Pragasam gembira selepas menerima insentif Pegawai dan Atlet Negeri Sembilan di Sukan SEA Manila 2019, yang disampaikan oleh Aminuddin hari ini. FOTO Bernama
MUHAMMAD Haiqal (kiri), S. Kisona, Ooi Kah Yan dan Daren Rahul Pragasam gembira selepas menerima insentif Pegawai dan Atlet Negeri Sembilan di Sukan SEA Manila 2019, yang disampaikan oleh Aminuddin hari ini. FOTO Bernama
Mohd Amin Jalil

PRESTASI cemerlang yang dipamerkan 22 atlet Negeri Sembilan yang meraih pingat ketika mewakili negara pada temasya Sukan Sea ke-30 di Filipina tahun lalu, menerima hadiah daripada kerajaan negeri, hari ini.

Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai berjumlah keseluruhan RM73,500, yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dalam satu majlis yang berlangsung di Klana Resort di sini, hari ini.

Mereka berjaya menyumbang tujuh pingat emas, sembilan perak dan lapan gangsa daripada keseluruhan 55 emas, 58 perak dan 71 gangsa yang diraih kontinjen negara.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri sangat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan kesemua atlet yang mengambil bahagian pada temasya dwi tahunan itu.

“Insentif ini diperkenalkan untuk memberikan suntikan semangat, menggalakkan serta memberi motivasi kepada atlet Negeri Sembilan yang mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Muhammad Haiqal Hanafi yang berjaya memenangi pingat emas dalam acara pecut 100 meter di temasya itu sekali gus dinobatkan sebagai pelari terpantas Asia Tenggara.

“Saya berharap kejayaan Haiqal dapat dijadikan contoh dan diikuti atlet lain demi untuk mengharumkan nama negeri dan negara.

“Saya juga berharap hadiah kecemerlangan ini dapat menaikkan lagi semangat atlet untuk meningkatkan prestasi kerana tahun ini kita akan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) di Johor,” katanya.

Mengenai persiapan menghadapi Sukma yang akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai depan, Aminuddin berkata, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM3 juta bagi persiapan kontinjen menghadapi temasya berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah melantik Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani sebagai ketua kontinjen.

“Saya berharap kejayaan atlet di Sukan Sea ini akan menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk terus mengorak langkah bagi memastikan lebih banyak kejayaan dapat dicipta pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 7:45 PM