ZAIDATUL sudah berusia 30 tahun.
ZAIDATUL sudah berusia 30 tahun.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Zaidatul Husniah Zulkifli boleh bersara dengan tenang dan tepat pada masanya jika dilihat dengan kejayaan serta pencapaian dia perolehi selama ini.

Bekas pelari pecut negara, Nazmizan Mohamad berkata, dengan usia Zaidatul sudah mencecah 30 tahun, jika pelari itu mengambil keputusan untuk bersara sudah pasti satu tindakan yang tepat untuk dirinya.

Dengan kejayaan terbaharu memenangi pingat gangsa dalam acara 4x100 meter (m) wanita di final temasya Sukan Asia Hangzhou semalam, Zaidatul sudah boleh fokus kepada kerjaya seterusnya mungkin sebagai cikgu jika itu pilihannya.

"Dia ketika ini berada pada prestasi terbaik dan mendapat beberapa kejayaan di Sukan Sea, Sukan Asia selain pernah layak ke separuh akhir Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

"Jika itu piihannya untuk bersara, satu perkara bagus untuk dirinya dengan apa dia kecapi sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, Zaidatul pernah memberi bayangan untuk bersara dari sukan olahraga ini. Namun begitu, Nazmizan berpendapat, jika Zaidatul masih ingin meneruskan lariannya, beliau tiada masalah selagi mana dirinya mampu mencatat masa terbaik dalam kategori yang ditandingi.

Pada Sukan Asia seterusnya nanti, jika pemegang rekod 100m kebangsaan ini masih diperlukan, ia boleh terus berlari bersama pasukan negara.

"Kita tidak boleh menafikan haknya pada Sukan Asia seterusnya meskipun usianya telah mencecah 33 tahun. Jika tiada siapa boleh tewaskan beliau dan catatkan masanya masih baik selain konsisten berada di tiga atau empat pelari terbaik , kita perlu berikan dia peluang itu.

"Kita mengambil kira pada catatkan masa dilakukan bukan melihat kepada usia sahaja. Jika ada pelari berusia 20an tetapi masih belum dapat mengalahkan dia, siapa patut kita pilih?" kata Nazmizan.

Mengulas lanjut berkenaan prestasi kuartet 4x100m wanita dan lelaki di final semalam, beliau memuji kesemua pelari kerana berjaya memberi saingan terbaik terutama pasukan wanita berjaya membawa pulang pingat gangsa.

Terdahulu, kuartet wanita yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul, Nur Afrina Batrisya dan Shereen Samson Vallabouy menamatkan saingan di tempat keempat dalam final 4x100m Sukan Asia di Stadium Olimpik Hangzhou.

Namun kuartet Bahrain dibatalkan penyertaan mereka selepas mendapati salah memasuki lorong sebelah dan membolehkan pingat gangsa menjadi milik Malaysia.

Pingat emas dimenangi China dengan catatan 43.39 saat sementara kuartet Thailand dengan catatan 44.32 saat memenangi pingat perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 6:47 PM