AKSI Irfan hari ini. FOTO REUTERS
AKSI Irfan hari ini. FOTO REUTERS
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamshuddin mengakui kecewa apabila sekadar menamatkan saingan kedudukan keenam dalam aksi di temasya Sukan Asia, Hangzhou.

Irfan melakukan balingan terbaiknya sejauh 58.94m yang menyaksikan acara itu dikuasai dua atlet Iran yang meraih emas dan perak menerusi Hossein Rasouli (62.04m) dan Ehsan Hadadi (61.82m) manakala gangsa milik atlet China, Tuergong Abuduaini (61.19m).

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Asia (ATF) itu mengakui bahawa dia terlalu memberi tekanan kepada dirinya menyebabkan dia gagal.

"Saya berlatih dengan gigih untuk Sukan Asia ini dan saya ingin melakukan yang lebih baik dari AFT dan saya tahu saya mampu.

"Selepas ATF saya tahu saya boleh lakukan dan saya sangat teruja bangun setiap pagi berlatih dan terus berlatih kerana matlamat saya adalah untuk melakukan dengan baik.

"Malah ketika sesi pemanas saya juga berasa sangat baik dan memang yakin boleh lakukan balingan 60m tapi saya terpaksa menunggu selama setengah jam dan badan saya mula sejuk dan rentak saya mula hilang," katanya.

Irfan mengakui bahawa dia harus mempertingkatkan lagi latihannya dan perlu belajar daripada pengalamannya di Sukan Asia kali ini.

Dia akan terus menjalani latihan seperti biasa selepas ini dan dijadualkan beraksi di Kejohanan Mokbo di Korea Selatan pada 27 Oktober ini.

Sementara itu dalam acara lompat bergalah, Nor Sarah Adi gagal menamatkan saingan dalam ranking kerana tidak mencatatkan sebarang lompatan apabila gagal dalam ketiga-tiga percubaannya pada ketinggian 3.80m.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2023 @ 9:57 PM