IRFAN raih gangsa di Kejohanan Olahraga Asia.
IRFAN raih gangsa di Kejohanan Olahraga Asia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas hasratnya untuk memenangi pingat emas tidak kesampaian di Kejohanan Olahraga Asia, atlet lempar cakera negara Irfan Shamsuddin seakan melaungkan amaran mahu membalas dendam di Sukan Asia Hangzhou September depan.

Menurut atlet berusia 28 tahun itu, dia akan kembali untuk berlatih dengan lebih keras seterusnya merampas kembali emas selepas hanya meraih gangsa semalam.

"Kita akan berlawan semula, InsyaAllah. Di Sukan Asia nanti saya akan jumpa orang sama. Jadi ada banyak masa (dua bulan) untuk saya berlatih betul-betul," katanya selepas melakukan lemparan sejauh 59.63 meter (m).

Emas dalam acara berkenaan diraih atlet China, Abuduaini Tuergong yang melakukan catatan 61.19m, manakala perak pula digondol Eissa Zankawi (60.23m).

Irfan menjadi atlet pertama negara yang menghadiahkan pingat buat skuad olahraga Malaysia di Bangkok.

Dia juga pernah menaiki podium enam tahun sebelum ini apabila meraih perak di Bhubaneswar, India dengan melakukan lemparan sejauh 60.96m.

"Saya hendak cakap berpuas hati tak boleh kerana bukan ini yang saya mahukan. Bagaimanapun jurulatih saya gembira tidak tahu mengapa, mungkin sebab beliau faham apa yang saya lalui di Eropah (kejohanan dan latihan).

"Saya mendapat demam panas dan terbaring seminggu di atas katil. Apa sahaja kekuatan yang saya bina sepanjang tahun memang terus menjunam. Di sana saya berada pada tahap terbaik dengan melakukan lemparan sehingga 62m. Jika tidak menang emas, saya tidak gembira," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 3:02 PM