IRFAN yang memenangi pingat emas lempar cakera bersama Abdul Rahman Lee yang memenangi pingat gangsa (kiri). -Foto OSMAN ADNAN
IRFAN yang memenangi pingat emas lempar cakera bersama Abdul Rahman Lee yang memenangi pingat gangsa (kiri). -Foto OSMAN ADNAN
Aida Adilah Mat


GEMBIRA dan kecewa, dua perasaan yang menyelubungi jaguh lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin selepas merangkul pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017), hari ini.

Dia yang beraksi dalam kesakitan berikutan kecederaan terseliuh buku lali kaki kiri berjaya mengatasi rasa sakit itu untuk merangkul emas selepas melakukan balingan 58.36 meter (m) sekali gus menewaskan atlet Thailand Narong Benjaroon yang merangkul perak (50.65m) dan rakan senegara yang juga pemenang gangsa Abdul Rahman Lee (44.80s).

Balingan emasnya itu turut mengatasi jarak balingan emas yang dilakar di Sukan SEA Singapura 2015, 56.62m.

Menurutnya, pentas temasya dwitahunan itu seharusnya menjadi medan terbaik sebagai pendedahan kepada atlet yang bertanding namun pada kali ini hanya disertai oleh dua negara, Malaysia dan Thailand.

“Temasya Sukan SEA yang pertama saya adalah di Myanmar dan ketika itu saya dihantar untuk pendedahan. Bagi saya, ini adalah medan terbaik untuk menilai prestasi.

“Memang bagus jika dapat menghantar atlet junior sebagai pelapis di masa akan datang,” katanya.

Dia seperti tidak dicabar apabila mudah menguasai lapangan dengan melakukan 55.87m pada balingan pertama, baling kedua dibatalkan, diikuti 58.36m, 56.3m, balingan kelima dibatalkan dan 57.89m.

Benjaroon pula sekadar melakukan balingan terbaik 50.65m pada percubaan kelima.

Irfan yang akan berlepas menyertai Kejohanan Universiti Dunia di Taiwan selepas ini melaungkan keyakinan bahawa kontinjen olahraga Malaysia mampu merealisasikan sasaran enam emas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Ogos 2017 @ 6:14 PM