KUARTET 4x100m negara (dari kiri) Shereen, Zaidatul Husniah, Azreen Nabila dan Nur Afrina Batrisya bersama pingat gangsa dimenangi mereka. FOTO ASYRAF HAMZAH
KUARTET 4x100m negara (dari kiri) Shereen, Zaidatul Husniah, Azreen Nabila dan Nur Afrina Batrisya bersama pingat gangsa dimenangi mereka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Hangzhou: Hangzhou meninggalkan kenangan manis buat kontinjen olahraga negara dengan kejayaan gemilang membawa pulang tiga pingat gangsa di temasya Sukan Asia kali ini.

Episod suka duka menyulami kontinjen pada hari terakhir penyertaan atlet negara dalam acara olahraga dan pastinya penutup paling menggembirakan menerusi gangsa diraih kuartet 4x100 meter (m) wanita, malam tadi.

Ketika pelari lelaki diharapkan mampu untuk melakarkan kejutan, sebaliknya ia dicipta rangkaian pelari wanita.

Ia seperti 'bulan jatuh ke riba' dan sesuatu tidak dijangkakan apabila kuartet dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Shereen Samson Vallabouy itu yang pada mulanya mendapat tempat keempat, namun kuartet Bahrain yang meraih tempat ketiga dibatalkan penyertaannya.

Ini susulan semakan mengenai kesilapan TR24.7 yang dilakukan Bahrain, mereka melakukan kesilapan ketika membuat penggantian baton.

Malaysia akhirnya dinobatkan sebagai pemenang pingat gangsa menerusi catatan 45.01 saat (s).

Pingat emas dimenangi China yang melakukan catatan 43.39s manakala Thailand memenangi perak dengan catatan 44.32s.

Pelari berpengalaman, Zaidatul Husniah berkata, kejayaan itu diharap memberi kegembiraan buat rakyat Malaysia yang mengikuti perkembangan prestasi atlet di Sukan Asia Hangzhou.

"Seperti saya selalu katakan, dalam acara berganti-ganti, apapun boleh berlaku, dibatalkan atau bagaimana, namun paling utama kami menang atau kalah sebagai sebuah pasukan," katanya.

Sementara itu, Shereen yang sebelum ini meraih gangsa dalam acara 400m wanita menganggap dua gangsa diraihnya pada temasya kali ini cukup bermakna bagi dirinya kerana langsung tidak meletakkan harapan pingat dalam acara 4x100m.

Berbekalkan dua kalungan pingat gangsa di temasya kali ini, Shereen menganggap ia sangat istimewa.

"Saya alami kecederaan hamstring hanya dua minggu sebelum Sukan Asia, terpaksa kurangkan kadar latihan dan berdepan cabaran mental.

"Tapi selepas itu dapat pulih tepat pada masanya, saya berlatih bersungguh-sungguh dan sedar apabila sampai ke sini, saya mesti berjuang dan gembira dapat bertanding tanpa dibelenggu kecederaan," kata Shereen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:37 PM