CAROLINE Garcia. FOTO AFP
CAROLINE Garcia. FOTO AFP
AFP

Guadalajara, Mexico: Pemain tenis wanita Perancis, Caroline Garcia semakin hampir ke pentas final Terbuka Guadalajara WTA 1000 apabila melangkah separuh akhir kejohanan itu.

Garcia yang juga pilihan ketiga mudah menundukkan wakil Belarus, Victoria Azarenka di suku akhir menerusi kemenangan 6-3, 6-4 dalam masa satu jam 37 minit.

Pemain tenis berusia 29 tahun itu bakal berdepan sama ada pemain Greece, Maria Sakkari atau Emiliana Arango dari Colombia di peringkat empat terbaik itu nanti.

Garcia yang memburu kejuaraan peribadi ke-12 dalam kariernya, nyata lebih bertenaga beraksi sempurna berbanding Azarenka yang gagal menyaingi kepantasan lawannya itu.

Dengan kemenangan itu, kedudukan Garcia selaku pemain nombor 11 dunia bakal berubah dengan dia dijangka berada dalam kelompok 10 terbaik selepas kejohanan ini susulan kemaraan ke separuh akhir itu.

Dalam satu lagi aksi suku akhir, Sofia Kenin mengikut jejak Garcia ke pusingan berikutnya selepas menewaskan Leylah Fernandez menerusi kemenangan 6-4, 6-7 (6/8), 6-1.

Kenin yang juga bekas juara Terbuka Australia akan menunggu pemenang antara Martina Trevisan atau Caroline Dolehide yang akan berentap hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 12:07 PM