HANNAY Yeoh bercakap ketika sidang media Battleground Malaysia: Road to Gold (#BTGMY), hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAY Yeoh bercakap ketika sidang media Battleground Malaysia: Road to Gold (#BTGMY), hari ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meletakkan sasaran untuk memastikan Malaysia mampu mencipta Sejarah tersendiri dengan menghantar wakil bertanding dalam acara breakdance di pentas Olimpik Los Angeles 2028.

Sasaran itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang melihat sukan tarian itu berpotensi untuk menjulang nama Malaysia di pentas Olimpik berdasarkan kepada bakat baharu yang terdapat di negara ini.

Malah, beliau berkata, bebanan menggalas nama Malaysia di pentas Olimpik tidak lagi disandarkan kepada sukan utama seperti badminton, basikal dan renang namun lebih meluas sekali gus menyaksikan kontinjen negara ke sukan terbabit lebih 'meriah'.

"Sekarang ini Malaysia banyak bergantung kepada sukan berbasikal, terjun, untuk cari pingat. harapan saya adalah Olimpik Los Angeles 2028 nanti kita ada sukan baru yang akan dihantar mewakili negara.

"Hal ini kerana, supaya bila kita nak harapkan pingat, fokus dan beban tidak terletak dalam tangan beberapa atlet saja tapi kita ada bakat yang lebih besar," katanya ketika ditemui pada majlis Pelancaran Malaysia Biggest Street Dance Competition Battleground Malaysia-Road to Gold, hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai bintang sukan tari negara Sam Jee Lek atau lebih dikenali sebagai Lego Sam, Hannah berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada atlet terbabit untuk terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

"Saya sentiasa mungkin beri sokongan kepada Lego Sam namun perkara paling penting adalah untuk kita nak lahirkan 10 lagi atlet sepertinya," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini Lego Sam antara atlet breakdance negara yang menyinar di pentas antarabangsa termasuklah memenangi emas di Sukan Sea Kemboja pada Mei lalu.

Atlet kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu ketika ini berada di kedudukan ke-83 dalam ranking kelayakan Olimpik dengan memenangi 80 gelaran dalam pelbagai kejohanan disertainya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2023 @ 1:54 PM