STUART berkata pasukan projek juga akan mengadakan siri perjumpaan bersama pihak berkaitan seperti MSN dan ISN. FOTO OWEE AH CHUN
STUART berkata pasukan projek juga akan mengadakan siri perjumpaan bersama pihak berkaitan seperti MSN dan ISN. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msarmohd


Kuala Lumpur: Pasukan projek 'Road to Gold' atau RTG sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028 tidak menunggu lama melakukan gerak kerja apabila akan membentangkan senarai atlet dan peruntukan perbelanjaan dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Penyelaras projek RTG, Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan tiga minggu untuk meneliti senarai atlet termasuklah membabitkan keperluan dan bantuan yang akan disalurkan mereka kelak.

Beliau berkata, pasukan projek juga akan mengadakan siri perjumpaan bersama pihak berkaitan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mendapatkan gambaran jelas berkaitan gerak kerja yang dilakukan dalam usaha merealisasikan impian membawa pulang emas pertama di temasya Olimpik.

"Mesyuarat pertama yang bakal diadakan kelak adalah membabitkan perbincangan dalaman bersama MSN, ISN serta pihak berkaitan.

"Pada masa sama, kita juga akan senarai pendek atlet yang berpotensi membawa pulang pingat untuk negara dan akan dibentang pada mesyuarat itu.

"Penyelarasan bajet dan keperluan sokongan turut akan dinyatakan namun tidak boleh diumumkan sekarang kerana memerlukan tempoh dua atau tiga minggu," katanya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan pembentukan pasukan projek RTG bagi menyelaras usaha meraih pingat itu di Paris 2024 dan Los Angeles 2028.

Hannah berkata, pasukan projek terbabit yang terdiri daripada bekas atlet dan 'individu elit' dalam arena sukan negara akan memberi tumpuan kepada program persediaan meliputi latihan harian, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Katanya, jawatankuasa RTG akan memperkasakan Program Podium sedia ada diketuai MSN da ISN melalui pemantauan peringkat kementerian.

Sementara itu, Stuart berkata, peruntukan perbelanjaan keseluruhan projek terbabit tidak dapat diumumkan dalam tempoh terdekat ini memandangkan ketika ini tidak mempunyai maklumat terperinci membabitkan keperluan dan senarai atlet yang akan berada dalam RTG.

"Kita akan mengumumkan peruntukan untuk projek ini sebaik mendapat maklumat terperinci. Sekarang ini adalah mahu menyenaraikan atlet yang berpotensi memenangi emas untuk negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 12:00 PM