HANNAH Yeoh. -FOTO NSTP
HANNAH Yeoh. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet Malaysia yang sudah layak untuk beraksi di Sukan Olimpik Paris bukanlah tiket atau keistimewaan kepada mereka untuk dimasukkan dalam program Road To Gold (RTG).

Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, RTG adalah program atau inisiatif tambahan kepada atlet berpotensi memenangi emas untuk negara di Olimpik bukannya mereka yang hanya layak ke temasya empat tahun sekali itu.

Beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa RTG berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan pada Selasa ini bagi menentukan sama ada terdapat tambahan atlet atau sebaliknya dalam program terbabit.

"Jawatankuasa RTG akan bermesyuarat pada minggu depan dan senarai atlet akan dibincangkan. Kena ingat bahawa RTG adalah 'topup service' kepada atlet berpeluang untuk memenangi emas dan bukannya layak ke Olimpik.

"Atlet layak ke Olimpik sudah ada dalam program podium. Segala kemungkinan tetap ada (atlet digugurkan)," katanya, dalam sidang media selepas selepas menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan ke 18 di MAEPS Serdang, sebentar tadi.

Sebelum itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan penembak negara Johnathan Wong menjadi atlet ketiga Malaysia layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Johnathan, 31, akan menyertai dua lagi atlet negara dalam senarai berkenaan, iaitu Bertrand Rhodict Lises daripada sukan terjun dan Nur Shazrin Latif daripada sukan pelayaran.

Sementara itu, Hannah berkata, KBS akan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) bagi membincangkan latihan khas selepas sukan itu disenaraikan dalam Olimpik 2028.

"Kita akan mengadakan perbincangan kelak mengenai atlet sukan ini selepas skuasy disenaraikan dalam temasya Olimpik 2028 di Los Angeles.

"Jika diikutkan, skuasy sememangnya ada dalam program podium dan perbincangan sudah dilakukan mengenai perkara itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:34 PM