AHMAD Shapawi (dua kanan) bersama barisan penaja pada majlis hari ini. FOTO MSN
AHMAD Shapawi (dua kanan) bersama barisan penaja pada majlis hari ini. FOTO MSN
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Seiring dengan teknologi semasa, penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 juga tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan berprestij Asia itu apabila mengesahkan bakal menggunakan kamera badan yang akan digunapakai komisar dan juga di motosikal mereka.

Menurut Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail yang bertindak sebagai penganjur edisi 2023, penggunaan teknologi sedemikian bakal membantu dari sudut menganalisa sebarang protes ketika perlumbaan.

"Kamera badan akan merakam apa-apa saja yang berlaku. Sekiranya ada apa-apa protes, kamera badan akan digunakan sebagai bukti untuk menilai apa-apa protes dan sebagainya. Ini salah satu kelebihan penggunaan kamera badan ini," katanya dalam sidang media LTdL di MSN Bukit Jalil hari ini.

Ujar Ahmad Shapawi, LTdL kali ini menggunakan teknologi terkini yang digunakan di perlumbaan jelajah yang lain.

"Jadi kita cuba dengan bantuan rakan-rakan (penaja), kita gunakan teknologi berkenaan," katanya.

Tiga penaja berkenaan adalah syarikat pembekal pakaian dan barangan rasmi, PACE; TikTok Malaysia (rakan penaja media sosial rasmi) dan Dahua Technology (pembekal peralatan dan perkhidmatan komunikasi rasmi) dengan jumlah tajaan keseluruhan merangkumi lebih RM1 juta.

Dalam pada itu, Shapawi berkata, lima pasukan bakal hadir lebih awal ke Malaysia untuk membuat penyesuaian dan persediaan bagi merangka strategi pasukan menjelang LTdL 2023.

Lima pasukan berkenaan adalah Green Project-Bardiani CSF-Faizane (Itali), Team Corratec-Selle Italia (Itali), Bolton Equities Black Spoke Pro Cycling (New Zealand), Li Ning Star (China) dan KSPO Professional (Korea Selatan).

LTdL 2023 yang dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi MSN dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1.277.1 kilometer (km).

Peringkat 1 dijadual bermula 23 September ini di Kerteh, Terengganu dan keseluruhan perlumbaan bakal menyelusuri 11 daripada 12 negeri di Semenanjung dengan kemuncak berakhir di Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) pada 30 September.

Sebanyak 22 pasukan mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini, membabitkan dua pasukan WorldTeam, lapan pasukan ProTeam, 11 pasukan Benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 September 2023 @ 5:20 PM