PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim (empat kiri) ketika berkunjung di Payang Walk, malam tadi. FOTO Ghazali Kori
PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim (empat kiri) ketika berkunjung di Payang Walk, malam tadi. FOTO Ghazali Kori

Malik

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri Terengganu sedia menjadi penaja perlumbaan berbasikal berprestij Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-28 pada tahun depan jika mendapat tawaran daripada pihak penganjur.

Malah kerajaan negeri juga sentiasa bersedia dan akan memberikan kerjasama berkaitan logistik selain mengalukan perlumbaan berprestij itu melalui laluan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri menyambut baik kerjasama itu kerana ia bakal memperkenalkan lagi negeri Terengganu ke seluruh dunia.

"Setakat hari ini InsyaAllah berdasarkan kedudukan kewangan kita, secara objektifnya kita bersetuju untuk bekerjasama dan menyokong kejohanan LTdL pada tahun depan jika mendapat tawaran daripada pihak penganjur.

"Ini kerana ia bakal merancakkan lagi sektor pelancongan negeri ini yang terkenal dengan julukan 'Negeri Cantik Budaya Menarik' kerana kejohanan ini dapat disaksikan di seluruh dunia selepas mendapat liputan secara langsung Euro Sports.

"Saya juga berkeyakinan ramai daripada kalangan kanak-kanak, remaja serta anak muda di negeri ini akan mengikuti dan melihat perlumbaan ini sekali gus ķita mampu melahirkan lebih ramai lagi bakat muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Payang Walk selepas selesai Majlis Pengenalan 22 Pasukan dan Penaja di Dataran Panoramik, dekat sini malam tadi, turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Hishamuddin menjelaskan pada edisi ke-27 ini, kerajaan negeri menaja wang tunai sebanyak RM800,000 dan bantuan daripada sudut logistik bagi memeriahkan lagi kejohanan berbasikal terbesar dalam negara itu.

Pada LTdL kali ini, seramai 131 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus WorldTeam, ProTeam, Continental dan pasukan kebangsaan bakal memberikan saingan sengit kejohanan yang meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,278.1 kilometer (km), membabitkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 12:32 PM