KETUA Setiusaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran menerima simbolik jersi putih daripada Sainbayar pada majlis tajaan hari ini.
KETUA Setiusaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr K Nagulendran menerima simbolik jersi putih daripada Sainbayar pada majlis tajaan hari ini.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Selepas memenangi jersi putih selaku pelumba terbaik Asia tahun lalu, pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling (TSG), Jambaljamts Sainbayar menyimpan impian untuk memenangi jersi kuning selaku juara keseluruhan pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 bermula 23 September ini.

Jelas Sainbayar, dia mahu memastikan dapat mencabar kedua-dua jersi itu selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan keseluruhan tahun lalu.

"Secara peribadi, saya nak pertahan jersi Asia (jersi putih). Rakan sepasukan dan pasukan (pada tahun lalu) banyak membantu dan ia menyeronokkan.

"Tahun ini, kami akan bersaing untuk jersi putih dan kuning. Kami akan melakukan yang terbaik. Semuanya akan bergantung kepada zon pendakian di Genting Highlands nanti.

"Walaupun tahun ini ada dua pasukan WorldTeam berbanding enam tahun lalu, saya rasa saingannya akan lebih kurang dan tetap sengit," kata Sainbayar kepada media selepas majlis penajaan LTdL 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pada majlis berkenaan, Kerajaan Negeri Terengganu muncul salah satu penaja utama bagi LTdL 2023 dengan nilai tajaan RM800,000 termasuk menaja jersi putih.

Untuk edisi kali ini, sebanyak 22 pasukan sudah mengesahkan penyertaan iaitu dua pasukan berstatus WorldTeam (WT), lapan pasukan ProTeam (PT), 11 pasukan benua dan pasukan kebangsaan Malaysia.

Selain Sainbayar, TSG turut dibarisi Jeroen Meijers, Harrif Salleh, Nur Aiman Zarif, Youcef Reguigui serta Nur Amirull Fakruddin Mazuki.

Terengganu bakal menjadi destinasi peringkat pertama perlumbaan LTdL 2023 yang akan bermula di Kerteh dan tamat di Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2023 @ 3:18 PM