KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
KETUA Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 memperkenalkan kembali kategori 'pelumba paling agresif' dalam usaha memeriahkan pelumbaan terbabit yang akan membuka tirai 23 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kategori terbabit yang kali terakhir diperkenalkan pada LTdL 2017 bakal menobatkan pelumba yang dilihat menjadi tunjang kepada pasukan masing-masing memenangi setiap peringkat pelumbaan.

"Kita akan memperkenalkan kembali kategori 'most combative rider' supaya perlumbaan pada edisi kali ini lebih menarik dan kompetitif di kalangan pelumba.

"Kategori berkenaan bukanlah baru kerana kita sudah perkenalkan sebelum ini cuma ia adalah anugerah tambahan kepada pelumba LTdL.

"Pada masa sama, kita sudah mempunyai penaja yang akan menaja pemenang kategori terbabit dengan mereka bakal membawa pulang RM1,000 jika memenangi pelumba paling agresif di setiap peringkat pelumbaan,"katanya, ketika ditemui dalam sidang media LTdL.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2023, Emir Abdul Jalal berkata, pelumba paling agresif sangat popular dikalangan pelumba antarabangsa sekali gus menjadi rebutan untuk dinobatkan sebagai pemenangan kategori berkenaan.

"Tahun ini MSN mengambil inisiatif 'most combative' sangat penting sebab kita hanya kenal pemenang tapi bekerja kuat tak pernah dikenali.

"Oleh itu, kita mahu pelumba yang bekerja keras dan membantu pasukan memenangi perlumbaan turut dihargai menerusi kategori terbabit.

"Kriteria pemenang akan dilihat oleh juri dan penganjur termasuk membuat analisa dengan mengenalpasti pelumba berpotensi.

"Pelumba tempatan juga berpeluang untuk memenangi kategori berkenaan dengan mengharapkan pelumba baru dapat menyerlah nanti,"katanya.

Mengikut rekod, pelumba negara Loh Sea Keong pernah memenangi kategori berkenaan pada pelumbaan LTdL 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 2:07 PM