NAZIFUDDIN turut dimaklumkan bahawa kecederaan itu tidak mengganggu fokus Azizulhasni. FOTO OWEE AH CHUN.
NAZIFUDDIN turut dimaklumkan bahawa kecederaan itu tidak mengganggu fokus Azizulhasni. FOTO OWEE AH CHUN.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kecederaan yang dialami oleh jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang bukan sesuatu yang serius dan ia tidak membimbangkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam misi pemburuan emas buat kontinjen negara ke Sukan Asia, Hangzhou yang akan membuka tirai temasya 23 September ini.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib ketika ditemui berkata, MOM akan menunggu laporan terperinci daripada Institut Sukan Negara (ISN) esok berhubung tahap kecederaan yang dialami oleh pemenang pingat perak temasya Olimpik Jepun itu.

Nazifuddin berkata, Azizulhasni dikhabarkan hanya mengalami luka kecil.

"Sukan basikal memang diketahui antara sukan yang berisiko tinggi untuk mengalami kecederaan. Kita tahu mungkin boleh berlaku kecederaan di mana boleh tergelincir atau jatuh.

"Tapi dalam keadaan Azizulhasni, dia bukan jatuh dan berada dalam kritikal. Cuma luka pada kulit dia dan nampak dia boleh sembuh sebelum bertanding.

"Tapi kita tunggu laporan lengkap dari ISN untuk mengetahui keadaan dia," katanya yang ditemui selepas majlis pelepasan kumpulan pertama negara ke temasya Sukan Asia oleh Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) Datuk Chong Kim Fatt di perkarangan Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil .

Nazifuddin turut dimaklumkan bahawa kecederaan itu tidak mengganggu fokus Azizulhasni yang masih bersemangat untuk membawa emas kepada negara.

Terdahulu Kim Fatt bersama dua pegawai MOM dan 15 atlet kriket wanita, berlepas ke Hangzhou, menjadi wakil pertama negara berlepas ke negara tembok besar itu hari ini.

Pasukan kriket wanita akan membuka saingan menentang Hong Kong pada Selasa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 4:32 PM