AIR Sungai Seine dikatakan tercemar berikutan hujan lebat di Paris sejak kebelakangan ini. FOTO Reuters
AIR Sungai Seine dikatakan tercemar berikutan hujan lebat di Paris sejak kebelakangan ini. FOTO Reuters

Paris: Kejohanan ujian renang pra-Olimpik yang sepatutnya berlangsung hari ini di Seine, Paris dibatalkan kerana pencemaran sungai, jelas Akuatik Dunia selepas memperoleh analisis sampel air terbaharu.

"Berikutan hujan lebat baru-baru ini, kualiti air di Seine berada di tahap bawah piawaian yang boleh diterima untuk menjaga kesihatan perenang," kata Akuatik Dunia dalam satu kenyataan hari ini.

"Berdasarkan perkara yang berlaku hujung minggu ini, jelas bahawa kerja lanjut diperlukan dengan Paris 2024 dan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan pelan kontingensi yang mantap disediakan tahun depan."

Latihan Jumaat lalu pun dibatalkan dan perlumbaan wanita ditangguhkan dari Sabtu ke hari ini dengan harapan kualiti air akan bertambah baik.

Hujan lebat sejak seminggu lalu di Paris menyebabkan pembetung melimpah, mencemarkan Seine.

"Akuatik Dunia kecewa kerana kualiti air di Sungai Seine menyebabkan pembatalan Piala Dunia Renang Perairan Terbuka Akuatik Dunia, tetapi kesihatan atlet kita mesti sentiasa menjadi keutamaan kami," kata presiden Akuatik Dunia, Husain Al Musallam.

Badan induk itu berkata ia memahami bahawa projek infrastruktur selanjutnya akan disiapkan untuk meningkatkan kualiti air dengan ketara di Sungai Seine menjelang Sukan Olimpik tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 5:57 PM