Menara Eiffel
Menara Eiffel
AP

Paris: Empat pemenang pertandingan bertuah bakal menjadi orang pertama dalam sejarah menjadikan Menara Eiffel sebagai rumah percutian bulan depan.

Syarikat percutian atas talian, HomeAway akan mengambil alih sebahagian ruang tingkat satu mercu tanda ikonik setinggi 300 meter itu sepanjang kejohanan bola sepak UEFA Euro 2016 yang akan berlangsung di Paris dan mengubahnya menjadi kediaman ala Hausmannian.

Pertandingan yang bermula kelmarin itu memberi peluang kepada pemenang bertuah tinggal di monumen terkenal yang menawarkan pemandangan indah Arc de Triomphe, Sacre Coeur dan sungai Seine.

Ketua pegawai eksekutif HomeAway, Brian Sharples menyifatkan langkah itu sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan memberikan jaminan kenangan percutian paling menyeronokkan seumur hidup. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:04 AM