PEKERJA menjahit jaket untuk kontinjen Perancis bagi Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO AFP
PEKERJA menjahit jaket untuk kontinjen Perancis bagi Sukan Olimpik Paris 2024. FOTO AFP
Reuters

Sydney: Ketua kontinjen (CDM) Australia, Anna Meares berkata, beliau yakin penganjur Sukan Olimpik Paris 2024 akan memastikan acara paling selamat yang menjadi keutamaan atlet.

Perancis meningkatkan isu keselamatan ke tahap tertinggi bulan lalu dan Isnin lalu, Presiden Emmanuel Macron berkata, mereka mempunyai alternatif bagi lokasi upacara pembukaan pada 26 Julai sekiranya berlaku masalah di Sungai Seine.

Tahap keselamatan turut menjadi keutamaan rakyat Australia susulan dua kes tikaman dengan pisau di Sydney dalam tempoh tiga hari dengan serangan pertama di pusat beli-belah yang menyebabkan enam terbunuh serta 12 cedera.

"Keselamatan berada di tahap utama dalam perancangan kami dan keutamaan kepada kami, jadi kami percaya jawatankuasa penganjur dan kerajaan Perancis akan melakukan yang terbaik untuk memastikan temasya yang selamat dan terkawal," kata Meares kepada media ketika pelancaran pakaian untuk upacara pembuknaan di pantai Clovelly.

"Kami akan memaklumkan perkembangan kepada atlet sebaik mendapat maklumat. Jadi, sudah tentu keselamatan perkara pertama ditanya dan ia soalan pertama yang kami jawab kepada mereka."

Juara dua kali acara berbasikal di Olimpik itu turut peka dengan laporan mengenai kualiti air di sungai Seine yang mungkin menyebabkan segmen renang bagi acara triathlon dibatalkan.

"Saya fikir ia hanya andaian mengenai situasi kemungkinan kandungan bakteria mencapai tahap tidak selamat," katanya.

"Jadi, kami akan membuat persediaan dan perancangan berdasarkan situasi sekarang."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 12:53 PM