ESTANGUET menerangkan mengenai pembukaan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine. FOTO AFP
ESTANGUET menerangkan mengenai pembukaan Olimpik Paris 2024 di Sungai Seine. FOTO AFP
AFP

Paris: Upacara pembukaan Sukan Olimpik pada 26 Julai 2024 akan berlangsung di Sungai Seine, jelas penganjur sekali gus memecahkan tradisi sekian lama temasya berkenaan yang sebelum ini membuka tirai dengan perarakan atlet serta pegawai di stadium.

Lebih 160 bot yang akan dinaiki atlet dan pegawai daripada 200 buah negara akan menyusuri sungai sepanjang enam kilometer antara jambatan Pont d'Austerlitz dan Pont d'Iena di tengah Paris.

Upacara penutup pula dijadualkan berlangsung di Trocadero kawasan taman dan air pancut yang berlatar belakang Menarai Eiffel.

"Hari ini adalah detik bersejarah. Terdapat banyak emosi, banyak semangat. Majlis perasmian setakat ini adalah penanda terbesar," kata pemenang pingat emas Olimpik tiga kali acara kanu, Tony Estanguet yang mengetuai Jawatankuasa Penganjur Paris 2024.

Penganjur Paris 2024 menjangkakan 600,000 penonton akan menghadiri upcara berkenaan sekali gus mencatat sejarah jumlah paling besar untuk pembukaan Olimpik.

Sebahagian daripada penonton akan berada di sepanjang tebing Sungai Seine di tempat duduk yang dikenakan tiket, manakala selebihnya boleh menyaksikan secara percuma.

Presiden Perancis Emmanuel Macron menyatakan idea untuk mengadakan upacara itu di Sungai Seine Julai 2024 walaupun terdapat kebimbangan mengenai kawalan keselamatan untuk acara besar-besaran yang melalui banyak lokasi terkenal di kota Paris.

Menurut sumber datuk bandar, pihak berkuasa pada mulanya menetapkan jumlah penonton sebanyak 25,000, manakala penganjur dan majlis bandaraya Paris sebelum ini berdebat mengenai jumlah dua juta penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 12:45 PM