AZEEM akan bersaing di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, petang esok. FOTO ARKIB NSTP
AZEEM akan bersaing di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, petang esok. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi bakal mengibarkan cabaran di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest, Hungary dalam acara kegemarannya, 100 meter (m), esok.

Menjadi wakil tunggal negara yang beraksi di kejohanan itu atas tiket wild card, pelari muda berusia 19 tahun itu tampak tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada 6.42 petang waktu Malaysia.

Pemenang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) mengakui teruja dan tidak sabar untuk beraksi di kejohanan itu yang menjadi medan terbaik buat dirinya yang dalam persiapan untuk ke temasya Sukan Asia di Hangzhou, China, bulan depan.

"Fokus saya ketika ini adalah memastikan tidak cedera di Kejohanan Dunia dan membina semula keyakinan dalam usaha untuk membawa pulang pingat tidak kira apa warna di Sukan Asia nanti," katanya.

Kejohanan Dunia kali ini dilihat medan terbaik buat Azeem untuk menilai tahap prestasi terkininya selepas beraksi di Kejohanan Olahraga Asia, bulan lalu.

Berdasarkan ranking Olahraga Dunia (WA), Azeem kini menghuni ranking ke-90 dunia.

Pada Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand baru-baru ini, Azeem terpaksa akur apabila menamatkan saingan final 100m di tempat kelima yang menyaksikan pingat emas dimenangi pelari Jepun, Hiroki Yanagita.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2023 @ 4:15 PM