AIRA Azman menyambut ulang tahun kelahiran ke-19, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
AIRA Azman menyambut ulang tahun kelahiran ke-19, hari ini. FOTO ASYRAF HAMZAH
Fabian Peter


Hangzhou: Kejayaan mara ke final Sukan Asia Hangzhou dan memastikan sekurang-kurangnya pingat perak dalam genggaman dianggap hadiah hari lahir penuh bermakna buat pemain skuasy wanita negara, Aira Azman.

Aira menyambut ulang tahun kelahiran ke-19, hari ini iaitu hari yang sama Malaysia menewaskan Korea Selatan 2-0 pada aksi separuh akhir acara berpasukan wanita yang berlangsung di Pusat Olimpik Hangzhou.

Kemenangan membolehkan skuad wanita negara memperbaiki pencapaian edisi sebelum ini yang menyaksikan mereka memenangi pingat gangsa di Jakarta-Palembang pada 2018.

Walaupun tidak diturunkan pada perlawanan separuh akhir itu, Aira yang juga juara remaja Asia dua kali, berkata: "Ia adalah hadiah yang bermakna kerana pasukan saya bermain dengan sangat baik.

"Saya harap prestasi pasukan akan lebih baik esok. Ini adalah peluang untuk kami menyumbang kejayaan kepada kontinjen Malaysia.

"Saya tidak pasti sama ada saya bermain esok tetapi tiada tekanan kerana ini adalah Sukan Asia pertama saya.

"Saya akan berikan yang terbaik untuk menyumbang mata kepada pasukan," kata Aira.

Terdahulu, kakak Aira iaitu Aifa menyumbang mata pertama buat Malaysia selepas menewaskan Eum Hwa-yeong 11-4, 11-1, 11-8 sebelum S Sivasangari memastikan kemenangan menerusi kejayaan menundukkan Eum Hwa-yeong 11-4, 11-1, 11-8.

Malaysia akan bertemu Hong Kong pada aksi final yang dijadual berlangsung, esok.

Hong Kong yang juga juara bertahan menepati ramalan apabila mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan India 2-0 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Sementara itu, Sivasangari yang terbabit dengan kemalangan kereta tahun lalu berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai dalam perlawanan hari ini.

"Saya positif dan ia sesuatu yang baik apabila dapat menamatkan perlawanan dalam tiga set.

"Hong Kong adalah pasukan yang sukar untuk ditewaskan. Mereka pada tahap prestasi terbaik.

"Kami perlu lebih fokus dengan permainan kami dan diri sendiri. Jika kami boleh melakukan itu, kami boleh menghasilkan keputusan yang baik," kata Sivasangari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 6:14 PM