AKSI Azeem (kiri) hari ini. FOTO Kejohanan Olahraga Asia
AKSI Azeem (kiri) hari ini. FOTO Kejohanan Olahraga Asia
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara menamatkan saingan di tempat keenam pada aksi final di Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand sebentar tadi.

Saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Suphachalasai menyaksikan kuartet negara yang dibarisi Muhammad Azeem Fahmi, Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Mohammad Thaqif Hisham menamatkan perlumbaan dengan catatan 39.17 saat (s).

Pingat emas acara itu dimenangi kuartet Thailand yang dibarisi Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson yang mencatat masa terpantas 38.55s yang juga rekod baharu kejohanan.

Kuartet China meraih perak dengan catatan 38.87s, manakala Korea Selatan ketiga 38.99s.

Sementara itu, kuartet wanita negara yang dibarisi Nurul Aliah Maisarah Nor Azmi, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Chelsea Cassiopea Evali Bopulas menamatkan saingan di tempat kelima dengan catatan 45.56s.

China menepati ramalan apabila meraih emas dengan catatan 43.35s manakala Jepun kedua (43.95s) dan Thailand ketiga (44.56s).

Dalam saingan 400m lelaki, pemegang rekod kebangsaan, Umar Osman gagal dalam usaha untuk melangkah ke final apabila sekadar menamatkan aksi separuh akhir 1 di tempat keempat dengan catatan 46.42s.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 9:18 PM