KHAIRUL HAFIZ JANTAN
KHAIRUL HAFIZ JANTAN
Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid


AURA dimiliki kuartet 4x100 meter (m) dari England, Afrika Selatan dan Jamaica ternyata terlalu hebat untuk disaingi kuartet kebangsaan apabila menamatkan saingan di tangga ketujuh pada perlumbaan akhir acara berkenaan di Stadium Carrara, hari ini.

Kuartet negara yang dianggotai Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Khairul Hafiz Jantan itu memperbaiki catatan kelayakan semalam 39.39 saat (s) untuk menamatkan saingan dengan 39.37s.

Catatan 39.37s itu ternyata masih jauh untuk menyamai rekod kebangsaan 39.27s namun memastikan mereka merekodkan catatan terbaik musim ini.

Mereka turut melakar sejarah apabila menjadi kuartet pecut pertama negara layak ke pentas akhir Sukan Komanwel.

Kuartet England yang dibarisi Reuben Arthur, Zharnel Hughes, Richard Kilty dan Harry Aikines-Aryeetey meraih pingat emas dengan catatan 38.13s.

Pingat perak pula dimenangi kuartet Afrika Selatan yang diketuai pemenang pingat emas 100m pecut, Akani Simbine untuk memperbaharui rekod kebangsaan negara itu 38.24s manakala juara Olimpik, Jamaica yang diketuai  Yohan Blake terpaksa berpuas hati dengan gangsa (38.35s).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 5:50 PM