CATATAN masa kuartet 4x100m negara pada separuh akhir Kejohanan Olahraga Asia.
CATATAN masa kuartet 4x100m negara pada separuh akhir Kejohanan Olahraga Asia.
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Permulaan pantas Khairul Hafiz Jantan dan pecutan bersahaja Muhammad Azeem Fahmi membantu kuartet lari berganti-ganti 4x100 meter lelaki negara mara ke final Kejohanan Olahraga Asia yang akan berlangsung petang ini.

Kuartet negara yang turut dibarisi Jonathan Nyepa selaku pelari kedua dan Thaqif Mohammad Hisham (pelari ketiga) mencatat masa kedua terpantas dalam saringan pertama 39.20 saat (s).

Malaysia berada di belakang Thailand yang dibarisi Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson selepas kuartet negara jiran itu mencatat rekod baharu kejohanan 38.66s.

Turut mara ke final ialah kuartet Singapura yang mencatat masa ketiga terpantas dalam saringan berkenaan iaitu 39.62s.

Lima lagi negara yang akan beraksi di final jam 7.50 malam ini di Stadium Nasional Supachalasai ialah China, Korea Selatan, Taiwan, Oman dan Arab Saudi.

Sementara itu, kurtet 4x100m wanita negara yang dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas juga mara ke final selepas mencatat ketiga terpantas dalam saringan kedua.

Catatan 46.17s sudah cukup buat pelari pecut wanita negara menyertai China, Jepun, Thailand, Hong Kong, Kazakhstan, Uzbekistan dan Singapura dalam aksi final jam 7.40 malam ini.

Pemenang pingat emas Sukan Sea Kemboja dalam acara 400 meter lelaki dan juga pemegang rekod kebangsaan 46.34s, Umar Osman pula mara ke separuh akhir yang akan berlangsung 5.55 petang ini.

Dia mencatat masa ketiga terpantas 46.72s di belakang pelari India, Muhammad Ajmal Variyathodi (46.06s) dan wakil Jepun, Kento Sato (46.08s) dalam saringan ketiga pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 1:21 PM