JONATHAN menegaskan belum masa untuk dia berundur dari sukan olahraga. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
JONATHAN menegaskan belum masa untuk dia berundur dari sukan olahraga. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelari pecut berpengalaman negara, Jonathan Nyepa tidak akan mengalah dan akan terus memberi yang terbaik untuk merebut tempat dalam skuad 4x100 meter (m) negara.

Biarpun dia adalah antara pelari paling berusia dalam senarai kuartet 4x100m yang akan beraksi di temasya Sukan Asia, Hangzhou, pelari berusia 27 tahun itu menegaskan bahawa dia tidak akan mengalah malah tiada erti putus asa bagi kamus hidupnya.

Malah, Jonathan menegaskan belum masa untuk dia berundur dari sukan olahraga kerana merasakan dia masih mampu berbakti kepada negara.

Pelari kelahiran Sarawak itu perlu bersaing bersama-sama Muhammad Azeem Fahmi, Russel Alexander Nasir Taib, Muhammad Haiqal Hanafi, Muhammad Arsyad Md Saat dan Khairul Hafiz Jantan untuk menentukan senarai kuartet 4x100m negara.

"Umur bukan satu masalah bagi saya kerana saya merasakan inilah waktu yang sesuai untuk saya capai tahap kemuncak. Saya tidak pernah putus asa untuk berlari dan memberi yang terbaik.

"Saya juga sudah belajar dari ramai jurulatih sebelum ini dan sekarang adalah masa untuk fokus dan sedia galas tanggungjawab sepenuhnya sekiranya terpilih untuk berlari dalam acara 4x100m di Sukan Asia nanti," katanya yang kini berlatih di bawah kendalian jurulatih Mohd Poad Md Kassim.

Terdahulu, Jonathan bersama-sama Azeem, Khairul dan Mohammad Thaqif Hisham menamatkan saingan dengan catatan 39.17 saat (s) ketika menyertai Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand bulan lalu.

Mereka menamatkan saingan di kedudukan keenam dalam acara yang dikuasai barisan pelari Thailand yang turut mencatat rekod baharu kejohanan 38.55s menerusi pecutan padu Natawat Iamudom, Soraot Dapbang, Chayut Khongprasit dan Puripol Boonson.

Pingat perak menjadi milik kuartet China (Wu Zhiqiang, Xie Zhenye, Chen Jiapeng dan Chen Guanfeng) dengan masa 38.87s, manakala Korea Selatan (Lee Simon, Ko Seunghwan, Shin Minkyu serta Park Wonjin) meraih gangsa (38.99s).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 4:20 PM