SISTEM challenge diyakini dapat membantu pengadil bertugas dan juga pasukan yang bertanding. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SISTEM challenge diyakini dapat membantu pengadil bertugas dan juga pasukan yang bertanding. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai 2023 dari 9 hingga 16 Julai ini di Korat, Thailand bakal menyaksikan beberapa beberapa perubahan dalam penggunaan sistem challenge.

Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf), Datuk Abdul Halim Kader yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakaw Antarabangsa (Istaf) berkata, lebih 700 atlet dan pegawai membabitkan 25 negara akan menyertai kejohanan yang memasuki edisi ke-36 tahun ini.

"Kali ini Istaf melalui Jawatankuasa Teknikalnya akan memperkenalkan beberapa perubahan baru dalam penggunaan sistem challenge yang mana diyakini dapat membantu pengadil bertugas dan juga pasukan yang bertanding.

"Sempena kejohanan ini juga akan diadakan Refresher Course membabitkan seramai 40 orang pengadil Astaf seramai dari 7 hingga 8 Julai dengan penekanan diberikan kepada tatacara penggunaan kamera badan dan undang-undang berkaitan challenge yang baru diperkenalkan," katanya.

Halim dalam kenyataan yang dikeluarkan turut memaklumkan bahawa Astaf berjaya dalam rundingannya bersama Thailand dan kata sepakat dicapai yang mana Thailand tidak akan menyertai acara quadran lelaki dan wanita di kejohanan itu.

Ini akan memberi peluang terbuka kepada mana negara yang bertanding untuk meraih dua pingat emas.

Malaysia turut dijadualkan menyertai kejohanan itu dengan mempertaruhkan barisan terkuat terdiri daripada Mohd Syahir Rosdi, Khairul Zaman, Azlan Alias, Farhan Adam, Muqhlis Borhan dan Khairul Azizi.

"Astaf dan Istaf amat yakin bahawa kejohanan pada kali ini akan bertambah meriah dengan pembabitan lebih 25 negara dan ia menjadi medan terbaik atlet mempamerkan bakat dan kemahiran tinggi mereka dalam sukan sepak takraw.

"Kejohanan terbesar ini juga berjaya membuktikan bahawa sukan sepak takraw sudah berkembang ke seluruh dunia dan ia adalah langkah terbaik untuk merealisasikan sepak takraw di pentas Sukan Olimpik," kata Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2023 @ 4:21 PM