BOONCHAI Lorhpipat (kiri) dan Halim (kanan). -FOTO Arkib
BOONCHAI Lorhpipat (kiri) dan Halim (kanan). -FOTO Arkib
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) mengingatkan 31 pengadil di negara ini yang mempunyai lesen pengadilan bertaraf kedua-dua badan induk itu bahawa mereka tidak lagi bernaung di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Setiausaha Agung Istaf yang juga Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader berkata, ini kerana PSM bukan lagi ahli gabungan Istaf mahupun Astaf.

Katanya, dengan adanya entiti baharu sukan sepak takraw di Malaysia dikenali sebagai Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MSC) selaku ahli gabungan Istaf dan Astaf, maka kesemua 31 pengadil itu secara automatik akan bernaung di bawah MSC berkuatkuasa serta merta.

"Namun Istaf dan Astaf memberi peluang kepada pengadil yang terbabit untuk membuat pilihan sama ada mahu bernaung di bawah MSC atau sebaliknya kerana apa juga urusan pengadilan membabitkan mereka selepas ini hanya akan dirujuk terus kepada MSC sahaja.

"Istaf dan Astaf amat menghargai dan menyanjung tinggi penglibatan dan komitmen pengadil terbabit yang menunjukkan prestasi terbaik dan cemerlang di sepanjang penganjuran Sukan Asia, Sukan Sea dan pelbagai kejohanan anjuran Istaf dan Astaf sebelum ini.

"Bagaimanapun Istaf dan Astaf sudah membuat keputusan sekiranya pengadil terbabit tidak bersedia bernaung di bawah MSC, maka mereka dengan sendirinya terputus hubungan sebagai pengadil bertaraf Istaf dan Astaf atau dengan kata lain mereka perlu bersara dari arena pengadilan secara pilihan sendiri," kata Abdul Halim dalam satu kenyataan.

Justeru itu Abdul Halim menasihatkan kesemua pengadil berkenaan agar dapat membuat pilihan bijak sekiranya ingin meneruskan karier mereka sebagai pengadil sepaktakraw antarabangsa.

PSM yang sebelum ini secara kontroversi disingkiran Astaf dan Istaf, mengambil keputusan membawa isu itu bersama Pesuruhjaya Sukan (PJS) ke muka pengadilan.

PSM menegaskan kewujudan dua badan induk termasuk MSC tidak memberi sebarang faedah kepada pembangunan sukan sepak takraw.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 1:56 PM