SYAHIR mengakui ia adalah masalah yang berulang dalam sukan sepak takraw. FOTO ASYRAF HAMZAH
SYAHIR mengakui ia adalah masalah yang berulang dalam sukan sepak takraw. FOTO ASYRAF HAMZAH
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tekong utama sepak takraw negara, Muhammad Syahir Mohd Rosdi berharap pihak bertanggungjawab dapat menambah baik sistem semakan video atau challenge di kejohanan peringkat Asean, Asia mahupun dunia.

Menurut Syahir, sistem yang digunakan di dalam sukan sepak takraw ketika ini sangat mengecewakan dan tidak capai taraf kejohanan tertinggi dan berprestij.

Tambahnya, sistem yang digunakan di Kejohanan Liga Sepaktakraw (STL) Malaysia lebih bagus berbanding peringkat antarabangsa.

"STL dengan antarabangsa (kejohanan), dia punya sistem memang jauh lebih baik STL sebab dia punya challenge ada dua lepas itu kalau menang dua dapat tambah satu lagi.

"Lepas itu dia punya challenge garisan memang betul-betul tepi garisan bukannya daripada atas.

"Jadi harap challenge dekat antarabangsa itu perlu dipertingkatkan lagi" katanya.

Perkara ini bukan sesuatu yang baru sebaliknya masalah yang berulang kerana sistem berkenaan digunakan dalam pertandingan sebelum ini lagi.

Kejohanan seperti Piala Raja Thailand, Sukan Sea dan Sukan Asia antaranya yang masih lagi gagal untuk menggunakan sistem terkini.

Perkara ini yang terjadi kepada Syahir dan rakan-rakan dalam final acara regu apabila bola libasan yang terakhir dari Thailand itu sepatutnya keluar namun disebabkan sistem challenge yang lemah, Malaysia telah dinafikan hak mereka.

Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) dan Persekutuan Sepaktakaw Antarabangsa (Istaf) perlu memandang serius isu tersebut kerana untuk kejohanan peringkat antarabangsa sepatutnya sistem yang digunakan lebih berkualiti dan lebih baik.

Tekong kelahiran Pulau Pinang ini turut meluahkan rasa kekecewaan selepas mereka gagal mempertahankan pingat emas acara regu yang dimenangi di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

"Kita memang hendak dapatkan emas dan hendak hadiahkan untuk rakyat Malaysia tetapi keputusan pengadil tidak memihak kepada kami.

"Jadi di situ susah sikit untuk nak terima tapi itu dekat sana, kita balik sini kita kena positif memang kena lupakan apa yang jadi dekat sana," katanya.

Selepas ini, Syahir akan sertai dua lagi pertandingan iaitu Kejohanan Sepak Takraw Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) dan Piala Tun Ali sebagai penutup 2023.

Terdahulu, di Sukan Asia Hangzhou 2022, skuad sepak takraw membawa pulang dua pingat perak dalam acara berpasukan dan regu sementara pingat emas milik Thailand yang terus mengekalkan status raja dalam sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2023 @ 1:17 PM