Fadhil (kiri) ketika menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 di Velodrom Nasional. -FOTO Azrul Edham
Fadhil (kiri) ketika menyertai Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 di Velodrom Nasional. -FOTO Azrul Edham
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis tekad mahu mendapatkan pingat emas dalam acara kegemarannya 1km Ujian Masa di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2023 yang berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan bermula esok.

Menurut Pelumba 25 tahun, dia akan memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri bagi menebus kekecewaannya dalam beberapa edisi terdahulu yang menyaksikan dirinya terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Bagaimanapun dia mengakui, ia bukanlah satu tugas yang mudah buat dirinya untuk meraih pingat emas apabila dia menjangkakan pelumba dari Jepun dan China bakal memberikan tentangan sengit dalam acara itu.

"Kalau boleh saya nak dapatkan jersi kejohanan Asia sebab sebelum ini asyik dapat tempat kedua sahaja. Kali ini berlumba di tempat sendiri bagi saya ia bagi semangat lagi-lagi dengan kehadiran penyokong.

"Untuk kejohanan kali ini sudah tentu susah sebab yang turun di sini nak kumpul mata kelayakan olimpik. Jadi semua akan pamer prestasi yang terbaik.

"Selain Malaysia negara pilihan meraih pingat emas dalam acara ini ialah dari Jepun dan China. Walaupun begitu saya tetap tidak akan pandang mudah dengan negara lain terutamanya Kazakhstan dan india," katanya.

Selain meraih emas dalam acara kegemarannya, anak jati Selangor itu turut mahu menyumbang mata kelayakan olimpik buat pasukan negara apabila turun dalam acara pecut berpasukan bersama-sama Muhammad Ridwan Sahrom dan Umar Hasbullah.

Menurutnya meskipun pasukan pecut kali ini tidak disertai jaguh basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom, dia yakin gandingan baru ini bakal menamatkan saingan di kedudukan podium.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 2:42 PM