NURUL Izzah (kiri) mempamerkan pingat emas yang berjaya diraihnya, manakala Anis Amira pula menggondol gangsa. FOTO Ihsan Skuad Berbasikal Trek Negara
NURUL Izzah (kiri) mempamerkan pingat emas yang berjaya diraihnya, manakala Anis Amira pula menggondol gangsa. FOTO Ihsan Skuad Berbasikal Trek Negara
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terus mempamerkan kayuhan bertenaga apabila menjelmakan kilauan pingat emas dalam acara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India, hari ini.

Dalam aksi final yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi sebentar tadi, 'The Pocket Rocketwoman' berjaya menebus kekecewaan apabila menidakkan kemenangan pelumba dari China, Tong Mengqi.

Sebelum ini dalam acara pecut pelumba wanita negara itu dikecewakan Menqi.

Seorang lagi pelumba negara, Anis Amira Rosidi turut berjaya membanggakan Malaysia selepas meraih gangsa dalam aksi final itu.

Dengan kemenangan emas hari ini, Nurul Izzah berjaya menambah pungutan pingat peribadi selepas meraih gangsa dalam acara pecut Jumaat lalu dan meraih perak dalam acara pecut berpasukan wanita pada 21 Februari lalu.

Sementara itu, dalam acara keirin elit lelaki, Muhammad Ridwan Sahrom berjaya mara ke final namun tidak dapat menjelmakan warna pingat selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima daripada enam pelumba.

Harapan untuk melihat Muhammad Shah Firdaus Sahrom menghadiahkan pingat dalam acara yang sama tidak kesampaian selepas gagal mara ke final dan sekadar mampu berada di kedudukan kelapan dalam penentuan tempat ketujuh hingga 12.

Untuk acara berkenaan, pelumba Jepun, Kento Yamasaki berjaya meraih pingat emas sementara Li Zhiwei dari China merangkul perak manakala gangsa menjadi milik pelumba Hong Kong, Yung Tsun Ho.

Terdahulu Arena Metro melaporkan Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley menyifatkan pelumba wanita, Nurul Izzah sebagai 'The Pocket Rocket' yang baharu buat Malaysia.

Ia selepas pelumba yang memiliki ketinggian 1.52 meter (m) itu memenangi pingat gangsa dalam acara pecut individu wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:25 PM