SHAH Firdaus (dua kanan) ketika beraksi dalam acara keirin. FOTO AFP
SHAH Firdaus (dua kanan) ketika beraksi dalam acara keirin. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nasib terus tidak menyebelahi kem berbasikal trek negara apabila wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2022 awal pagi tadi.

Aksi yang berlangsung di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis itu, menyaksikan pelumba Belanda, Harrie Lavreysen menepati ramalan apabila meraih pingat emas dalam acara berkenaan buat kali ketiga berturut-turut selepas turut menenanginya pada edisi 2020 di Berlin, Jerman dan Roubaix tahun lalu.

Pingat perak pula dimenangi pelumba muda Australia, Mathew Richardson manakala Jack Carlin dari Britain meraih gangsa.

Shah Firdaus yang juga pemenang gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula dengan baik apabila mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menamatkan perlumbaan saringan 1 pusingan pertama di tempat kedua di belakang Lavreysen.

Malah, di peringkat suku akhir, Shah Firdaus berjaya mengekalkan momentum cemerlang dengan mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat ketiga dalam perlumbaan saringan ketiga di belakang pelumba Colombia, Kevin Santiago Quintero Chavarro yang mengungguli saingan manakala Jeffrey Hoogland dari Belanda kedua.

Bagaimanapun, Shah Firdaus tidak berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam pelumba terbaik untuk beraksi dalam penentuan pingat di pentas final.

Pelumba berusia 26 tahun itu menamatkan perlumbaan saringan 1 separuh akhir di kedudukan keenam sekali gus menyaksikan dia hanya beraksi untuk penentuan kedudukan ketujuh hingga ke-12 sebelum menamatkan aksi di tempat ke-10.

Walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat namun pencapaian Shah Firdaus kali ini adalah lebih baik berbanding penampilan pada edisi tahun lalu yang menyaksikan dia tersingkir seawal pusingan pertama dalam acara keirin.

Naib juara Asia 2019 itu bagaimanapun berpeluang menebus kekecewaannya itu apabila turun beraksi dalam acara kegemarannya pecut individu yang dijadual bermula esok.

Semalam, Shah Firdaus bersama dua lagi pelumba negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom terkandas di pusingan kelayakan dalam acara pecut lelaki apabila menamatakan saingan di kedudukan ke-11 daripada 17 pasukan.

Sementara itu, pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi terkandas di pusingan pertama acara pecut individu selepas tewas di tangan Pauline Grabosch dari Jerman, awal pagi tadi.

Anis bersama Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan, semalam terlepas kedudukan lapan tempat terbaik apabila sekadar menamatkan pusingan kelayakan di tempat ke-10 daripada 11 pasukan bertanding dalam acara pecut berpasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 4:06 PM