SHAH Firdaus berjaya mengetepikan Shih Feng. FOTO AZRUL EDHAM
SHAH Firdaus berjaya mengetepikan Shih Feng. FOTO AZRUL EDHAM
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kem berbasikal negara menghadiahkan dua gangsa dalam acara pecut individu lelaki dan wanita menerusi Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri pada hari ketiga Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi.

Shah Firdaus mempamerkan kayuhan bertenaga untuk mengungguli persaingan penentuan pingat itu dengan menewaskan pelumba Taiwan, Kang Shih Feng dalam kedua-dua perlumbaan.

Emas acara berkenaan diraih pelumba Jepun, Yuta Obara yang menewaskan wakil China, Li Zhiwei 2-0.

Manakala Nurul Izzah tidak berdepan masalah mengatasi pelumba Jepun, Aki Sakai 2-0 untuk menghadiahkan pingat gangsa kedua negara.

Sementara itu pelumba China, Tong Mengqi diberi tentangan sengit oleh rakan senegara, Wang Lijuan apabila terpaksa beraksi dalam perlumbaan penentuan selepas kedudukan terikat 1-1 sebelum berjaya meraih emas.

Ia adalah pingat kedua buat Nurul Izzah yang sebelum ini turut menghadiahkan perak dalam acara pecut berpasukan wanita kelmarin.

Berdasarkan prestasi semasa, Nurul Izzah dijangka akan menambah koleksi pingat apabila turun dalam acara 500 meter (m) ujian masa yang mana dia meraih perak ketika beraksi di ACC Nilai tahun lalu.

Manakala Shah Firdaus yang menjadi pertaruhan negara di temasya Olimpik Paris Julai ini turut berpeluang menambah kilauan pingat dalam acara kegemarannya keirin esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2024 @ 11:02 PM