AZEEM semakin menyinar. FOTO Agensi
AZEEM semakin menyinar. FOTO Agensi
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi semakin hampir untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus bakal merealisasikan impian peminat sukan tanah air untuk melihat wakil Malaysia berentap bersama jaguh 100 meter (m) dunia kelak.

Ketika ini, pelari berusia 19 tahun itu hanya perlu mengerah sedikit lagi keringat untuk melepasi had kelayakan ditetapkan dalam acara 100m iaitu 10s bagi menyambar tiket merit ke Perancis tahun depan.

Rekod terbaik yang pernah dicatatakan pelari 100m kebangsaannya terbabit adalah 10.09s sekali gus memerlukan 0.09s saja lagi untuk beraksi di pentas berprestij itu.

Biarpun sukar tetapi ia boleh menjadi kenyataan berdasarkan prestasi semasa Azeem dalam semua kejohanan bersama Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat tahun ini.

Menariknya, jurulatih pecut universiti itu, Ken Harnden turut meluahkan keyakinan Azeem mampu berlari bawah 10s berdasarkan sikap positif atlet dari Teluk Intan, Perak itu.

"Azeem sangat cemerlang walaupun berpindah separuh dunia untuk bersama jurulatih, kawan, makanan dan sekolah baharu. Walaupun tidak 100 peratus sihat tetapi dia masih berikan prestasi pada tahap tertinggi.

"Saya teruja dengan sikap positif, senyuman dan keazamannya untuk berjuang. Dia cepat belajar dan mudah dilatih selain diberikan didikan dan latihan yang sangat bagus di Malaysia.

"Ya dia boleh berlari bawah 10s tidak lama lagi," katanya selepas Azeem merakam masa 10.04s tetapi tidak diiktiraf sebagai rekod rasmi kerana bantuan angin +5.5m/s.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin juga menitip harapan supaya Azeem layak ke pentas berprestij itu dan kembali mengangkat martabat arena olahraga negara di mata dunia.

"Bukan kita harapkan pingat emas tetapi ia sesuatu yang sangat bagus buat sukan olahraga kalau dia layak ke Olimpik. Dia ada peluang dan mengharapkan dia akan berjaya," katanya.

Kali terakhir Malaysia mempunyai wakil dalam acara pecut 100m di Sukan Olimpik adalah melalui legenda olahraga kebangsaan, Watson Nyambek pada edisi 2000 di Sydney, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 1:13 PM