AZEEM ketika menerima sumbangan dana pendidikan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed di Pejabat Menteri Besar Perak, Jumaat lalu. FOTO L Manimaran
AZEEM ketika menerima sumbangan dana pendidikan daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamed di Pejabat Menteri Besar Perak, Jumaat lalu. FOTO L Manimaran
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet olahraga negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meletakkan sasaran mahu mencipta sejarah menjadi pelari pecut pertama Malaysia layak ke Sukan Olimpik secara merit.

Walaupun dilihat agak sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok pelari terbaik dunia namun dia tetap positif sejarah mampu tercipta menerusi kerja keras dan komitmen tinggi sepanjang tempoh berkelana di Universiti Auburn, Alabama dekat Amerika Syarikat.

Azeem berkata, dia perlu keluar daripada zon selesa untuk mencari cabaran baharu di bumi eropah menerusi penyertaan di beberapa kejohanan dunia sepanjang tempoh 2023 untuk melayakkannya menyertai Olimpik 2024 di Paris.

Katanya, berbekalkan sokongan dan doa daripada peminat sukan tanah air serta ahli keluarga, sudah pastinya kejayaan terbabit mampu dilaksanakan sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

"Saya mahu mencari ilmu dan pengalaman selain kembangkan cita-cita untuk menjadi lebih baik daripada sekarang.

"Apa yang perlu kita lakukan adalah jika mahu memperoleh sesuatu yang lebih baik perlu mengharungi halangan atau cabaran besar dalam hidup untuk berjaya.

"Sekarang ini, saya letakkan sasaran dan dalam fikiran untuk menjadi pelari pecut pertama Malaysia layak ke Olimpik secara merit. Nampak sukar namun tidak mustahil," katanya.

Mengikut rekod, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat di Ipoh itu meraih keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berjaya menduduki tempat kelima dalam acara 100m semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia pada Ogos lalu.

Seterusnya, beliau mencipta kejutan memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat (s) (dalam saringan) di Cali, memadam rekod lama 10.18s yang dilakar bekas jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 4:28 PM