AZEEM ketika menyertai acara 200 meter di Cali, Colombia.
AZEEM ketika menyertai acara 200 meter di Cali, Colombia.
Ferzalfie

Kuala Lumpur: Bekas pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek menyokong penuh keputusan Muhammad Azeem Fahmi yang mahu menyambung pengajian dan mempertajamkan lariannya dengan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Menurut Watson, keputusan pelari muda yang tengah meningkat naik untuk berpangkalan di AS mampu membuatkan Azeem lebih fokus sekali gus mengelakkan dirinya daripada dibuai populariti sehingga mampu menjejaskan kariernya.

"Ini peluang g sangat baik untuk Azeem kerana seperti kita tahu, ramai jaguh dunia turut menjalani latihan di AS yang mana teknologi latihan mereka juga lebih maju," kata Watson yang sekarang ini berusia 46 tahun.

Beliau berharap pelari negara berumur 18 tahun itu menggunakan peluang berkenaan sebaiknya kerana seluruh rakyat Malaysia mengakui berlatih di sana lebih tepat berbanding di sini yang mampu menjejaskan tumpuan apabila sudah menjadi popular.

"Jika dia ke AS, tiada orang kenal dia di sana dan dia boleh memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajiannya dan latihan tanpa sebarang gangguan," kata bekas pemegang rekod kebangsaan 100 meter (m) itu.

Azeem mencipta sensasi dengan memperbaharui rekod kebangsaan acara berkenaan dengan catatan 10.09 saat (s) ketika mengungguli saringan lapan Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Selasa lalu.

Dia memecahkan rekod milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s ketika memenangi pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Azeem yang layak sehingga peringkat akhir bagaimanapun terpaksa akur menamatkan saingan di kedudukan kelima dengan catatan 10.14s, kelmarin.

Semalam, jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah berkata, Azeem sudah pun membuat keputusan dengan menjadikan AS sebagai destinasi pilihannya bagi melanjutkan pengajian dan meneruskan kerjayanya dalam sukan olahraga.

Beliau berkata, Azeem yang meraih keputusan 6A dalam Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) menerima tiga tawaran bagi menyambung pengajiannya di universiti di negara Uncle Sam itu iaitu di Minnesota, Oregon dan Houston.

Dalam pada itu, Watson yang dua kali beraksi di pentas Sukan Olimpik (Atlanta 1996 dan Sydney 2000), percaya Azeem memiliki kualiti bagi menjadi pelari pertama negara mencatatkan masa di bawah 10s dalam acara 100m sekali gus layak secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Untuk dia melakukan catatan bawah 10s bukan sesuatu yang mustahil. Berdasarkan fizikal dan teknik lariannya memang sudah bertaraf dunia, saya percaya dia boleh pergi lebih jauh lagi. Cuma, dia perlu bekerja keras dalam latihan terutama menambah lagi kekuatan untuk berlari dengan lebih laju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 11:42 AM