AZEEM ketika mengungguli acara 100m di Sukma Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
AZEEM ketika mengungguli acara 100m di Sukma Kuala Lumpur. FOTO Hazreen Mohamad
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi dilihat mempunyai masa depan yang cerah bukan sahaja dalam sukan disertainya namun juga dalam bidang pelajaran.

Azeem yang baharu berusia 18 tahun, sudah mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos lalu.

Catatannya itu memadamkan rekod lama milik Khairul Hafiz Jantan 10.18s yang dilakukan ketika temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak 2016.

Selain cemerlang dalam acara riben biru itu, Azeem juga hebat dalam pelajarannya apabila memperoleh 6A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus menyaksikannya ditawarkan peluang menimba ilmu di luar negara.

Bagi atlet kelahiran Perak itu, dia belum berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini dan berjanji mahu mencipta nama selaku pelari pecut pertama negara dapat berlari di bawah 10s.

"Berlari di pentas dunia sememangnya amat istimewa dan banyak yang saya pelajari. Terima kasih semua kerana terus menyokong saya selama ini.

"Saya berjanji kepada anda semua, anda akan melihat atlet Malaysia pertama yang berlari di bawah 10s tidak lama lagi. Alhamdulillah untuk segalanya," katanya yang tercalon dalam kategori Ikon Sukan Lelaki Breakthru untuk Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro.

Jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah sebelum ini melaporkan Azeem menerima beberapa tawaran daripada universiti di luar negara untuk melanjutkan pelajarannya.

"Saya tak ada masalah pilihan mana pun, yang penting kesesuaian di satu-satu tempat dipilih itu biarlah bersesuaian dengan Azeem," katanya.

Dapatkan borang undian AIS di dalam akhbar Harian Metro atau boleh mengundi melalui www.hmetro.com.my/AIS.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 5:58 PM