SHEREEN memecahkan rekod kebangsaan acara 400m wanita di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays, California, Amerika Syarikat (AS), semalam.
SHEREEN memecahkan rekod kebangsaan acara 400m wanita di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays, California, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy dinasihatkan tidak mendabik dada dan berpuas hati dengan kejayaan dikecapi selepas meleburkan rekod kebangsaan 400 meter (m) berusia 30 tahun, semalam.

Ibunya yang juga bekas atlet 400m negara, Josephine Mary Singarayar berkata, perjalanan pelari negara itu masih jauh lagi, sekali gus akan berhadapan pelbagai rintangan dan cabaran dalam usaha meraih kejayaan di peringkat lebih tinggi.

"Sebagai ibu, sudah tentu kejayaan ini sesuatu yang membanggakan. Segala kerja keras dan pengorbanan yang dilakukannya selama ini sudah menampakkan hasil.

"Shereen sememangnya meletakkan sasaran untuk itu (memecahkan rekod kebangsaan) dan mahu menjadi atlet Malaysia pertama melakukan catatan di bawah 52 saat (s) dalam acara 400m.

"Apa yang saya boleh kongsikan, dia adalah seorang atlet yang sentiasa bersemangat tinggi dalam sukan. Saya tidak perlu beri motivasi kepada dirinya untuk menjadi ahli sukan kerana dia sendiri mahukan perkara itu dan bercita-cita tinggi," kata Josephine.

Shereen mencipta sensasi meleburkan rekod acara 400m kebangsaan berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam, semalam

Dia mencatatkan 51.8s di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat (AS), sekali gus memperbaharui rekod lama 52.56s yang dilakukan Rabia pada 1993 di Filipina.

Catatan itu menyaksikan Shereen menamatkan saingan di kedudukan kelima pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Hilmer Lodge.

Shereen menamatkan perlumbaan di belakang pelari Texas A&M University, Jermaisha Arnold yang muncul juara dengan catatan 50.79s diikuti rakan sepasukannya, Tierra Robinson-Jones kedua (51.01s) manakala atlet University of South Carolina, Jan'Taijah Jones ketiga (51.0s) dan Ziyah Holman dari University of Michigan keempat (51.60s).

Sebelum ini, Shereen empat kali memecahkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dengan yang terakhir ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, bulan lalu pada catatan 52.27s.

Malah, catatan itu melayakkan Shereen beraksi di Sukan Asia Hangzhou di China pada September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2023 @ 4:30 PM