SHEREEN (kiri) dilihat sebagai calon utama untuk menjuarai acara itu berdasarkan kejayaannya mencipta rekod 400m kebangsaan. FOTO Bernama
SHEREEN (kiri) dilihat sebagai calon utama untuk menjuarai acara itu berdasarkan kejayaannya mencipta rekod 400m kebangsaan. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Penantian 24 tahun skuad olahraga kebangsaan untuk meraih pingat emas 400 meter (m) wanita pada Sukan Sea Kemboja 2023 mungkin akan tercapai menerusi pelari negara, Shereen Samson Vallabouy.

Ibu Shereen, Josephine Singarayar memberitahu, dengan keyakinan tinggi yang dimiliki Shereen ketika ini, dia yakin anaknya itu mampu untuk memberikan larian terbaik menjelang acaranya yang akan berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo pada Selasa ini.

"Sekarang ini tumpuannya hanya terarah kepada Sukan SEA. Dia berlatih dengan begitu gigih dan tidak sabar untuk melakukan yang terbaik di sana nanti.

"Jika segalanya berjalan lancar, dia boleh tamatkan acaranya di atas podium," kata Josephine yang akan turut berada di Phnom Penh memberikan sokongan padu kepada anaknya.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi kejayaan N Manimagalay pada edisi 1999 di Brunei.

Shereen dilihat sebagai calon utama untuk menjuarai acara itu berdasarkan kejayaannya mencipta rekod 400m kebangsaan dengan masa 51.80 saat (s) pada Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California, Amerika Syarikat bulan lalu.

Catatan itu membolehkannya memadam rekod lama yang dilakukan oleh Rabia Abdul Salam iaitu 52.56s pada 1 Disember 1993.

Masa yang dilakukannya juga secara tidak langsung telah mengatasi rekod Sukan Sea milik atlet Vietnam, Nguyen Thi Tinh iaitu 51.83s ketika edisi Hanoi 2003 selain turut layak ke Sukan Asia di Hangzhou, China pada September depan.

Bagaimanapun, Shereen dijangka dicabar hebat ratu 400m Vietnam, Nguyen Thi Huyen yang memenangi pingat emas lima edisi berturut-turut bermula 2015 di Singapura sehinggalah Hanoi 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 3:20 PM