SHEREEN meleburkan rekod 400 meter (m) kebangsaan di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays, California, Amerika Syarikat. FOTO Agensi
SHEREEN meleburkan rekod 400 meter (m) kebangsaan di Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays, California, Amerika Syarikat. FOTO Agensi
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy mencipta sensasi apabila berjaya meleburkan rekod acara 400 meter (m) kebangsaan berusia 30 tahun milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam.

Atlet berusia 25 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan itu Kejohanan Olahraga Tahunan Mt SAC Relays ke-63, California, Amerika Syarikat, awal pagi tadi dengan catatan masa 51.80 saat (s) sekaligus memperbaharui rekod lama 52.56s yang dilakukan Rabia pada tahun 1993 di Filipina.

Catatan terbaru direkodkan Shereen menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan kelima pada kejohanan yang berlangsung di Stadium Hilmer Lodge.

Pada kejohanan itu, Shereen menamatkan perlumbaan di belakang pelari Texas A&M University, Jermaisha Arnold yang muncul juara dengan catatan 50.79s diikuti rakan sepasukannya, Tierra Robinson-Jones kedua (51.01s) manakala atlet University of South Carolina, Jan'Taijah Jones ketiga (51.0s) dan Ziyah Holman dari University of Michigan keempat (51.60s).

"Shereen sudah bekerja keras dan melakukan tugasnya dengan baik dalam memastikan semua perkara diperlukan untuk dia berjaya, termasuk latihan dan mengekalkan kesihatannya.

"Selepas mencatatkan masa terpantas pada aksi dalam dewan, kami percaya dia mampu untuk mencatat masa bawah 52s di kejohanan luar.

"Dia telah melakukan tugasnya dengan hebat, hari ini apabila mengikut segala strategi yang dirancang sebelum ini. Saya sangat gembira dan bangga atas pencapaian yang diraihnya," kata jurulatihnya, Mason Rebarchek.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Shereen berjaya meleburkan rekod kebangsaan apabila sebelum ini empat kali memecahkan rekod kebangsaan 400m dalam dewan dengan yang terakhir ketika memenangi pingat emas di Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan Divisyen II Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Virginia Beach, Virginia, bulan lalu pada catatan 52.27s.

Kejayaan pelari yang juga anak kepada bekas atlet kebangsaan, Josephine Mary Singarayar itu meletakkan dia di landasan tepat dalam misi untuk memenangi emas 400m di Sukan Sea Kemboja, bulan depan.

Pada Sukan Sea Hanoi di Vietnam, tahun lalu, emas dimenangi atlet Vietnam, Nguyen Thi Huyen dengan catatan 52.83s.)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 10:09 AM