SHEREEN lebur rekod 200, milik legenda olahraga negara, G Shanti. - Foto WSU
SHEREEN lebur rekod 200, milik legenda olahraga negara, G Shanti. - Foto WSU
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur:Atlet olahraga wanita negara, Shereen Samson Vallabouy meleburkan rekod 200 meter (m) kebangsaan berusia 25 tahun dengan catatan masa 23.33 saat (s) pada aksi final Kejohanan Olahraga Ed Murphey Classic 2023 awal pagi tadi.

Shereen, 25, yang memperbaharui rekod milik milik legenda olahraga negara, G Shanti 23.37s yang dilakukan di Fukuoka, Jepun pada tahun 1998.

Catatan terbaru direkodkan Shereen menyaksikan dia menamatkan saingan di kedudukan keempat pada kejohanan yang berlangsung di Memphis, Tennessee Amerika Syarikat (AS)

Pada perlumbaan itu, Shereen berada di belakang pelari atlet Jamaica, Nataliah Whyte dengan catatan 22.76s diikuti Talitha Diggs dari AS kedua (22.83s) manakala pelari Nigeria, Favour Ofili ketiga (22.94s).

Untuk rekod, pada April lalu, Shereen yang berusia 25 tahun meleburkan rekod kebangsaan berusia 30 tahun dalam acara 400m milik Allahyarhamah Rabia Abdul Salam dengan catatan 51.80s di Kejohanan Olahraga St Mac Relays di California.

Dia yang kini bergelar atlet profesional selepas menamatkan pengajian di Winona State University di Minnesota memperbaharui rekod Rabia yang mencatat 52.56s ketika melakukannya pada 1993 di Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:47 PM